Wednesday, 1 February 2023

 

7,998 saman pelbagai kesalahan jalan raya direkodkan di sekitar Kuala Lumpur

  • Published in Nasional

 

KUALA LUMPUR, 22 Januari - Sebanyak 7,998 saman telah dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh Op Selamat 19 dilaksanakan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Sarifudin Mohd Saleh berkata angka itu merupakan yang direkodkan sejak 18 Januari lalu.

Beliau berkata sebanyak 28 tangkapan juga dilakukan iaitu 19 kes mengikut Seksyen 45 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, enam kes (Seksyen 42 APJ 1987) dan tiga kes (Seksyen 108 APJ 1987).

"Pihak trafik telah meletakkan anggota di kawasan titik panas dan juga kawasan kerap berlaku kemalangan (blackspot) di enam lokasi iaitu di Jalan Duta, Jalan Pahang, Jalan Cheras, Jalan Kuching, Jalan Syed Putra dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban.

“JSPT akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan supaya dapat meminimumkan kes kemalangan dan kematian dalam Op Selamat kali ini," katanya kepada pemberita selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Stesen LRT Bangsar, di sini, awal pagi tadi.

Sementara itu dalam operasi SJR malam tadi, sebanyak 1,899 saman pelbagai kesalahan jalan raya telah dikeluarkan termasuk di dua lokasi lain iaitu di Jalan Genting Klang dan Jalan Ampang, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 809 kemalangan jalan raya dengan dua kes kematian direkodkan di sekitar ibu negara, sepanjang empat hari pelaksanaan Op Selamat ke-19 sejak Rabu lalu.

Sarifudin berkata, kedua-dua kes kematian itu berlaku di Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban dan Lebuhraya Besraya melibatkan penunggang motosikal.

Pada 13 Januari lalu, Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari mulai 18 sehingga 27 Jan secara serentak di seluruh negara selepas dilancarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain di Ayer Keroh, Melaka.