Wednesday, 1 February 2023

 

Selepas 25 tahun, Datuk Seri Anwar kembali ke Wisma MCA raikan TBC

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 22 Januari- Selepas 25 tahun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali ke Wisma MCA bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina.

Datuk Seri Anwar berkata, beliau menghargai undangan MCA ke majlis berkenaan kerana komponen Barisan Nasional (BN) itu kini menjadi sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan pimpinannya.

“Terima kasih kepada Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong kerana menjemput saya dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memang sudah lama, sudah lebih 25 tahun,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di sini.

(Datuk Seri Anwar bersama isteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah menggaul Yee Sang pada 
Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina MCA di sini / Foto BERNAMA)

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Tambah Datuk Seri Anwar, perpaduan bersama MCA akan dimanfaatkan bagi menumpukan usaha menangani isu pembangunan dan ekonomi negara.

Sementara itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid menyifatkan kembalinya Perdana Menteri ke Wisma MCA sebagai petanda baik perpaduan yang lebih erat akan terjalin antara semua bangsa di Malaysia.

"Kita perlu menerima hakikat landskap politik baharu telah terbina, kita harap MCA akan menjemput Perdana Menteri setiap tahun.

Ia juga membawa mesej negara harus dibangun semula dengan situasi pascapandemik COVID-19 dan kita tidak akan boleh lakukan jika tiada kesepaduan sesama kita,” katanya.