Wednesday, 1 February 2023

 

BigBen unit pusat setempat hadapi Monsun Timur Laut

  • Published in Nasional

(Lawatan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ke
Bilik Gerakan Bencana (BigBen)/FOTO Facebook Kementerian Kerja Raya)

KUALA LUMPUR, 9 Disember - Semua pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan masyarakat menjadikan Bilik Gerakan Bencana (BigBen) sebagai sumber rujukan bagi mendapatkan maklumat terkini berkaitan bencana alam yang disebabkan oleh Monsun Timur Laut (MTL), dijangka berlarutan sehingga Mac tahun depan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang melawat BigBen berkata maklumat yang cepat dan tepat melalui BigBen bukan sahaja dapat membantu memberikan maklumat tepat kepada masyarakat tetapi juga kepada petugas pasukan keselamatan di kawasan bencana.

Nanta berkata, BigBen merupakan inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR), salah satu agensi bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) yang berfungsi sebagai unit pusat setempat (one stop centre’) bagi pengurusan maklumat kejadian bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh.

"Ini melibatkan jalan bawah seliaan JKR iaitu Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri di seluruh negara, di samping memberikan maklumat terkini jalan-jalan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya.

"KKR telah mengambil langkah-langkah kesiagaan dalam menghadapi MTL kali ini yang meliputi usaha mengenal pasti lokasi laluan yang kerap berlaku bencana, menjalankan pemeriksaan jalan, cerun, longkang dan pembentung dari masa ke semasa, memasang pancang-pancang kayu penunjuk aras banjir di jalan-jalan yang kerap berlaku banjir," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

(Lawatan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi ke
Bilik Gerakan Bencana (BigBen)/FOTO Facebook Kementerian Kerja Raya)

Tambah Nanta, kementeriannya juga telah mempersiapkan 2,580 pelbagai jentera diseluruh Semenanjung yang diperlukan bagi kerja-kerja kecemasan untuk digunakan ketika berlaku bencana dan menyediakan laluan alternatif atau papan tanda lencongan bagi jalan yang terputus hubungan.

"KKR juga akan bekerjasama dengan pelbagai agensi bagi melancarkan lagi usaha pelan mitigasi banjir dan bencana alam lain,” katanya.

Maklumat status kejadian bencana jalan raya boleh diperolehi di portal bencana Jabatan Kerja Raya di alamat: www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman twitter di @JKRMalaysia, @CSFJ_JKR dan facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia atau boleh menghubungi pada talian 03-26107727.