Wednesday, 1 February 2023

 

Fahmi Fadzil mahu kandungan unsur provokatif ditangani segera

  • Published in Nasional

(Menteri Komunikasi Digital, Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil (tengah)
mempengerusikan perjumpaan dengan penyedia platform TikTok/FOTO Kementerian Komunikasi)

PUTRAJAYA, 5 Disember - Menteri Komunikasi Digital Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mahu kandungan yang mengandungi unsur provokatif ditangani secara holistik dengan kadar segera seperti penekanan dalam Mesyuarat Kabinet Khas yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi.

Fahmi Fadzil berkata, ia berkaitan perlakuan muat naik bahan yang mengandungi unsur provokatif, menggugat keharmonian dan menyentuh sensitiviti kedudukan institusi beraja, agama dan bangsa (3R – Ruler, Religion & Race) di platform media sosial.

Katanya, beliau telah mengadakan perjumpaan antara Kementerian Komunikasi Digital, penyedia platform TikTok dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membendung dan membanteras penyebaran kandungan tersebut.

"Saya mengutarakan kebimbangan dan keseriusan impak negatif daripada kandungan seumpama ini yang tersebar luas dalam kalangan masyarakat Malaysia yang majmuk, rencam dan harmoni.

"Hasil perbincangan ini, pihak TikTok telah menyatakan hasrat dan komitmen untuk menjalin kerjasama strategik dengan Kementerian Komunikasi Digital melalui SKMM untuk segera membendung dan membanteras penyebaran kandungan berunsur provokatif dan bersifat ekstremis ini di media sosial yang menganggu keharmonian pelbagai lapisan masyarakat dalam negara kita yang tercinta ini," katanya dalam kenyataan malam Isnin.

(Dari kiri - Hafizin Tajudin, Ketua Dasar Awam (Head of Public Policy) TikTok Malaysia, 
Datuk Seri Haji Mohammad bin Mentek, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Digital
dan Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil, Menteri Komunikasi Digital/FOTO Kementerian Komunikasi)

Tambahnya, beliau akan mengadakan beberapa lagi siri perjumpaan dengan penyedia platform media sosial yang lain.

Terdahulu, Fahmi mengadakan pertemuan dengan penyedia perkhidmatan media sosial bagi membincangkan isu berkaitan penyebaran maklumat palsu serta kandungan bersifat agresif.

Beliau yang baru memulakan tugas secara rasmi di Kementerian Komunikasi Digital di Putrajaya hari ini berkata pertemuan itu memberi ruang kepadanya untuk memahami kerangka kawal selia setiap penyedia perkhidmatan media sosial.

Katanya, pertemuan itu juga membolehkan penyedia perkhidmatan media sosial bersikap lebih prihatin terhadap undang-undang negara ini serta keperluan untuk menjaga keharmonian serta perpaduan rakyat.

Berita Berkaitan:
Ahmad Fahmi mulakan tugas Menteri Komunikasi Digital
Isu akses Internet, keselamatan data peribadi jadi fokus Fahmi Fadzil