Wednesday, 8 February 2023

 

Beri kuasa autonomi kepada pentadbir sekolah buat keputusan - Pensyarah

  • Published in Nasional

(Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti,
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad)

KUALA LUMPUR, 29 November - Pentadbir sekolah wajar diberi kuasa autonomi untuk membuat keputusan dan merancang dasar mengikut kesesuaian pelajar di institusi pendidikan masing-masing, kata Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad.

Anuar berkata pendekatan itu diyakini akan memberi ruang kepada pentadbir sekolah untuk menentukan keputusan segera selain merangka gerak kerja untuk meningkatkan semula tahap pendidikan pelajar terutama selepas pandemik.

"Kita tahu kesan pandemik sangat serius khususnya kepada pelajar sekolah rendah walaupun pelbagai usaha kementerian untuk mengurangkan isu keciciran namun masih ramai pelajar yang keciciran pembelajaran.

"Ramai yang hiang motivasi untuk belajar dan sebahagaian mereka tidak berminat untuk belajar.

"Jika kita masih melakukan seperti sebelum ini yang mana hanya pihak sekolah sahaja yang boleh membuat keputusan...kebimbangan kita ialah satu iaitu keputusan itu lambat dan kedua mungkin keputusan itu tidak selari dan sesuai dengan keputusan setempat.

Jadi dengan autonomi ini, saya percaya banyak keputusan segera dapat dilakukan sekali gus menyelamatkan pembelajaran murid di sekolah," katanya kepada RTM selepas menjadi tetamu menerusi program Khas Pasca PRU-15: Memperkasa Pendidikan di Angkasapuri.

Dr Anuar juga menyaran agar pihak bertanggungjawab meneliti dan mengkaji semula 3 kumpulan sasar utama iaitu pelajar miskin di kawasan bandar, pelajar di kawasan pedalaman dan pelajar pendidikan khas Orang Kurang Upaya (OKU).

Ia berikutan golongan sasar itu dibimbangi mengalami keciciran pembelajaran susulan penutupan sekolah ketika pandemik COVID-19.