Thursday, 8 December 2022

Johor harap Bajet 2023 tumpu perkasa belia, sukan

  • Published in Nasional

MERSING, 1 Oktober- Johor berharap Bajet 2023 yang dijadual dibentang Jumaat ini akan memberi tumpuan kepada pembangunan belia dan memperkasakan sukan selain bersifat holistik sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 2.2 juta golongan muda di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah berkata peruntukan yang lebih besar bagi pembangunan belia dan sukan di negeri juga akan dapat membuktikan golongan muda tidak dipinggirkan.

"Saya ingin menunggu satu sentuhan kerajaan pusat yang kita tahu separuh daripada rakyat Johor terdiri dalam kalangan orang muda dan pastinya suara mereka ini perlu diangkat dan tidak boleh diketepikan.

"Kita tunggu dan saya sudah berbisik kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memohon supaya peruntukan belia dan sukan di Johor (dapat) dipertingkatkan untuk tahun depan," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Mersing Fun Run anjuran Ikatan Anak Mersing (IAM) di Dataran Mahkota di sini hari ini yang turut dihadiri Presiden IAM Muhammad Syukri Ibrahim.

Mengenai Mersing Fun Run atau larian ria yang berkonsepkan pelancongan pendidikan itu, Mohd Hairi mencadangkan supaya program itu dapat diteruskan selain dijadikan sebagai acara tahunan bagi daerah Mersing yang mempunyai pelbagai destinasi tumpuan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan
Sumber Manusia negeri Mohd Hairi Mad Shah

Sementara itu, Muhammad Syukri berkata program bagi mempromosikan Mersing sebagai daerah pelancongan itu berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan dari pelbagai latar belakang.

Beliau berkata pelbagai aktiviti diadakan termasuk memberi informasi mengenai kepentingan menjaga kebersihan pulau, pantai dan hidupan air, pertunjukan tarian zapin dan persembahan masyarakat Orang Asli dari Kampung Punan di sini bagi memperagakan pakaian tradisional mereka. -BERNAMA