Thursday, 8 December 2022

Kerajaan Sabah tekad perhebat momentum pembangunan - Hajiji

  • Published in Nasional

KOTA KINABALU, 1 Oktober- Kerajaan Sabah terus bertekad untuk memperhebat lagi momentum pembangunan negeri di samping menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelbagai program dan inisiatif yang dirangka, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata masih banyak perlu dilakukan di Sabah, dan kerajaan bertanggungjawab, agenda membela nasib rakyat dengan memacu pembangunan di seluruh negeri akan terus diperhebat meliputi pelbagai sektor.

“Kerajaan akan terus memperkasa pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar termasuk dalam aspek jaringan komunikasi, meningkatkan kualiti pendidikan, kesihatan dan modal insan, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik serta mengurangkan kemiskinan.

“Selain itu, menambah peluang pekerjaan, meningkatkan tahap keselamatan dan lebih penting membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan serta terjejas akibat pandemik COVID-19," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Negeri Sabah sempena ulang tahun ke-69 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, menyaksikan 54 orang menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat masing-masing.

Hajiji berkata Sabah membelanjakan lebih RM2.39 bilion untuk projek pembangunan sehingga 4 September tahun ini di bawah pelan pusingan kedua Rancangan Malaysia Ke-12, sekali gus menunjukkan prestasi 45.67% daripada lebih RM5.23 bilion diperuntukkan di bawah pelan itu untuk 1,118 projek pembangunan diluluskan.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor

Beliau berkata agenda pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya kini berada di landasan betul dan mula menampakkan hasil positif termasuk dalam sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan, selain pembangunan modal insan bagi memastikan anak Sabah tidak tercicir dalam bidang pekerjaan.

“Saya percaya rakyat bijak untuk menilai fakta pencapaian kita khususnya ketika berhadapan pandemik COVID-19. Kita adalah kerajaan bertanggungjawab bukan hanya memikirkan dan merancang, malah lebih penting adalah melaksanakan banyak agenda pembangunan untuk membantu rakyat,” katanya. -BERNAMA