Tuesday, 29 November 2022

Rempuh papan tanda, pemandu lori maut

  • Published in Nasional

BAYAN LEPAS, 28 September- Seorang pemandu lori maut apabila kenderaan dipandunya merempuh sebuah papan tanda di Persiaran Paya Terubong 2, dekat Bayan Lepas.

Mangsa, S. Kumaravelan, 48 tahun dilaporkan mati di tempat kejadian akibat dihempap tiang konkrit dalam kejadian kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah ketika dihubungi berkata, semasa tiba di lokasi kejadian pihaknya mendapati mangsa berada dalam keadaan tersepit di bahagian pemandu.


(Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong, Mohd Shakir Abdullah)

Pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 3.20 petang dan tiba di lokasi 10 minit kemudian.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong dan Bayan Baru berada di lokasi insiden bagi operasi mengeluarkan mangsa.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 4.37 petang tadi.


(Operasi menyelamat mangsa oleh pasukan bomba dari BBP Paya Terubong dan Bayan Baru)