Tuesday, 29 November 2022

Banjir: JBPM Kelantan kenal pasti kawasan berisiko

  • Published in Nasional

KOTA BHARU, 28 September- Hampir 600 kawasan berisiko banjir dikenal pasti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan.

Kesemua lokasi berkenaan, melibatkan tujuh daerah, antaranya Pasir Mas, Tumpat dan Gua Musang, sepanjang fasa peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka bermula November hingga Mac tahun depan.

Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin memberi jaminan kawasan berkenaan bakal diberi tumpuan lebih melalui pemantauan berterusan pihaknya.

"Tempat- tempat ini kita bagi tumpuan oleh pegawai -pegawai di balai bomba daerah itu akan pantau kawasan dia kerana kawasan itu dikatanya kerap kali berlaku banjir, kita juga pastikan pusat pemindahan sementara di sana yang terdekat untuk pemindahan mereka sebagai persediaan awal kita," katanya.

Zainal berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM Kelantan di Dewan Utama JBPM Tunjong, Kota Bharu hari ini.


(Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasin)

Hadir sama, Ketua Operasi Bencana Daerah Narathiwat, Thailand, Muhaday Nithatnawaday Chakul.

Sebagai persediaan Monsun Timur Laut di negeri ini, JBPM Kelantan turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi melancarkan penugasan.

Selain itu tumpuan turut diberi kepada kawasan bercerun yang banyak terdapat di Gua Musang, Kuala Krai dan Jeli.

Dalam perkembangan lain, JBPM Kelantan juga bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan jika Pilihan Raya Umum (PRU 15) diadakan ketika tengkujuh.

Ujar Zainal meskipun ia perkara baharu namun pihaknya sentiasa meletakkan aras kesiapsiagaan pada tahap tertinggi jika Dewan Rakyat dibubarkan pada tempoh berkenaan.

"Di pihak jabatan bomba memang kita dah duga apa persiapan kita kalau berlaku PRU tahun ini dan tahun depan bomba tiada masalah, kita akan bersedia seperti sedia kala mungkin lebih tingkatkan lagi persiapan logistik kita," katanya.

Beliau turut memaklumkan, jika keadaan mendesak, bantuan dari negeri-negeri tidak terlibat banjir akan dipohon bagi melancarkan penugasan.