Thursday, 8 December 2022

PM harap UAE sokong cadangan hapus kuasa veto PBB

  • Published in Nasional

ABU DHABI, 27 September- Malaysia berharap UAE menyokong cadangan menghapuskan kuasa veto Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyuarakan cadangan itu dalam pertemuannya bersama Presiden UAE, Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan, memandangkan negara tersebut telah terpilih menjadi anggota Majlis Keselamatan PBB.

Pada pertemuan itu juga, Perdana Menteri turut menyuarakan beberapa cadangan lain.

UAE diharap dapat memainkan peranan lebih aktif dalam isu global terutamanya melibatkan konflik berpanjangan Palestin dan krisis politik Myanmar.

Keperluan mereformasi PBB juga perlu dipandang serius dan diambil langkah sewajarnya.

"Saya maklumkan beberapa cadangan supaya PBB ditransformasikan termasuk membatalkan kuasa veto, dihapuskan demi tingkatkan demokrasi di PBB malah saya juga cadangkan supaya anggota tetap Majlis Keselamatan adalah daripada benua-benua yang berbeza," kata Ismail kepada RTM.

Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan tahniah kepada UAE kerana sekali lagi menjadi anggota tidak tetap majlis keselamatan PBB.

Majlis Keselamatan 15 anggota terdiri daripada lima anggota tetap iaitu Britain, China, Perancis, Rusia dan Amerika Syarikat.

10 ahli tidak tetap dipilih untuk penggal dua tahun, manakala lima ahli tidak tetap diganti setiap tahun.

Malaysia pernah menjadi anggota tidak tetap majlis keselamatan itu dari 1 Januari 2015 hingga 31 Disember 2016.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demikian kepada RTM di Abu Dhabi selepas
pertemuan bersama Presidennya, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan)

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Kediaman Presiden di Abu Dhabi.

Datuk Seri Ismail Sabri dan Sheikh Mohamed antara lain membincangkan cara untuk mengukuhkan hubungan dua hala yang terjalin sejak 40 tahun lalu.

Pada masa sama, melihat potensi untuk meneroka bidang kerjasama baharu seperti keselamatan makanan, pendigitalan dalam pendidikan, dan tenaga boleh diperbaharui.

Tahun lalu, UAE merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia, destinasi eksport kedua terbesar dan sumber import kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Barat.

Bagi 2021, jumlah perdagangan Malaysia dengan UAE meningkat 7.9 peratus kepada RM22.29 bilion.