Thursday, 8 December 2022

Pembangunan Bandar Malaysia, UAE dipelawa terlibat dalam projek berkaitan - PM

  • Published in Nasional

(IHSAN : AGENSI BERITA EMIRATES)

ABU DHABI, 27 September- Malaysia mempelawa Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk terlibat dengan pembangunan Bandar Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelawaan itu dibuat dalam pertemuan dengan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan di Kediaman Presiden, di sini.

Menurutnya, sebaik bersedia, jemputan secara rasmi akan dibuat bagi tujuan itu.

Ia susulan persetujuan kabinet untuk mengkaji semula projek berkaitannya.

"Kabinet bersetuju untuk 'revisit' dari segi pembangunan dan pakej-pakej akan ditentukan.

"Dan kalau boleh kita nak supaya dari segi prinsipnya, kita nak lebih ramai pihak yang terlibat di dalam pakej-pakej tersebut, tidak dikuasai oleh satu atau dua syarikat. Jadi modelnya berbeza," katanya pada sidang media bersama wakil media Malaysia, di sini hari ini.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

Pembangunan Bandar Malaysia akan dilaksanakan secara berfasa.

Pertimbangan utama dalam Bandar Malaysia adalah model campuran pembangunan pengangkutan yang selamat untuk pejalan kaki dan pergerakan orang ramai, termasuk kenderaan tidak bermotor seperti basikal.

Hubungan Malaysia-UAE diperingkat, jalin perkongsian strategik

Perdana Menteri turut memaklumkan, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan tahap hubungan sedia terjalin kepada perkongsian strategik.

Pertemuan Ismail Sabri dan Sheikh Mohamed berlangsung dalam semangat kekeluargaan yang memperlihatkan keakraban Malaysia-UAE.

"Saya berterima kasih kerana Presiden UAE menganggap Malaysia sebagai keluarga, ini kerana hubungan yang amat rapat di antara Presiden UAE dengan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sehingga Presiden UAE memanggil Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai 'my brother'.

"Jadi hubungan rapat ini yang saya kira menyebabkan suasana perbincangan dalam keadaan sangat mesra dan penuh kekeluargaan," kata Ismail Sabri.

Presiden UAE turut menghargai sumbangan rakyat Malaysia yang bekerja di negaranya.

Malah, Sheikh Mohamed menjemput lebih ramai warga Malaysia berkhidmat dalam bidang-bidang kepakaran tertentu.

Ketika ini, lebih 6,000 rakyat Malaysia berada di seluruh UAE.