Friday, 9 December 2022

700 wanita golongan B40 di Johor berpeluang jalani saringan mamogram percuma

  • Published in Nasional

(Ling Tian Soon (kanan) mendengar penerangan tentang pemeriksaan mamogram
yang dijalankan di Hospital Pakar KPJ Johor semasa melancarkan program Think Pink, hari ini)

JOHOR BAHRU, 27 September- Sebanyak 700 slot pemeriksaan mamogram percuma disediakan kepada golongan wanita B40 di Johor bagi tujuan pengesanan awal kanser. Ia menerusi Program Think Pink, Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor ( YKTLJ).

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata keutamaan diberi kepada golongan wanita berisiko tinggi dan mempunyai sejarah keluarga menghidap kanser payudara berusia antara 40 hingga 70 tahun ke atas.

"Menurut statistik, satu daripada 30 wanita dijangka akan menjadi penghidap kanser, jadi adalah penting agar pemeriksaan awal dapat dibuat sama ada melalui pemeriksaan kendiri mahupun pemeriksaan mamogram.

"Pemeriksaan tersebut boleh dilakukan di mana-mana hospital yang menawarkan perkhidmatan berkenaan dan saya juga berterima kasih kepada Hospital Pakar KPJ Johor kerana menawarkan perkhidmatan tersebut pada harga berpatutan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Program Think Pink di Hospital Pakar KPJ Johor.


(Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon)

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) , Mohd Ikmal Izam Zaini berkata inisiatif hasil kerjasama Yayasan Johor Corporation dan Lotte Chemical Titan (M) Sdn Bhd itu dilaksanakan memandangkan kadar peratusan jumlah kes kanser payudara di Malaysia meningkat khususnya kanser payudara tahap tiga dan empat.

"Pemeriksaan saringan mamogram percuma ini dibuat selari dengan penganjuran inisiatif Think Pink yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kanser payudara, khususnya dalam kalangan wanita," katanya

Sehingga Ogos lalu, sebanyak RM10 juta dibelanjakan YKTLJ menerusi pelbagai inisiatif dan memanfaatkan 2,985 pejuang kanser di negeri ini.