Thursday, 8 December 2022

Projek Grid Pintar: Melaka sasar 30,000 rumah menjelang 2023

  • Published in Nasional

(Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Melaka, Datuk Rais Yasin)

MELAKA, 27 September- Melaka terpilih sebagai salah sebuah bandar dari 11 buah negara untuk melaksanakan Projek Grid Pintar di bawah Program Pembangunan Bandar Mampan.

Justeru, Kerajaan negeri menyasarkan 30,000 unit rumah kediaman akan mengaplikasikan Grid Pintar menjelang 2023.

Menurut Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri, Datuk Rais Yasin, sehingga kini hanya 40 unit rumah kediaman yang berjaya mengintegrasikan teknologi berkenaan.

Projek Grid Pintar ini merupakan satu-satunya projek demonstrasi grid pintar yang sedang giat dibangunkan di Malaysia dan rantau Asia.

"Kita memerlukan penyertaan sahaja kepada orang awam pengguna sebenarnya sebab ini adalah satu sistem komunikasi dua hala di mana apabila bersetuju dengan servis 'provider' jadi daripada pengguna akan tahu berapa penggunaan yang digunakan elektrik pada hari ini lepas itu berapa 'energy saving' dan sebagainya," katanya.

Rais berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Jalan Hang Tuah, Melaka.

Jelasnya, Projek Grid Pintar dilihat berupaya menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri pintar, berteknologi hijau dan mewujudkan persekitaran yang lebih mampan.


(Datuk Rais Yasin merasmikan Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022) 

Dalam perkembangan lain, Rais memaklumkan pihaknya telah mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mencari kaedah sesuai memantau keselamatan pelajar sekolah bagi mengekang kejadian culik daripada berlaku.

Ujarnya, biarpun tiada kejadian culik berlaku di negeri ini, kerajaan negeri perlu mencari langkah pencegahan mengelakkan Melaka turut menjadi sasaran penjenayah.

“Minggu depan saya akan beritahu JPN dengan semua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) semua sekolah untuk melihat apakah kaedah yang dijalankan bagi mengelak kejadian culik di Melaka.

“Contohnya, mungkin boleh diusulkan satu kerjasama melibatkan JPN, sekolah dan PIBG untuk mengetatkan lagi kawalan keselamatan pelajar di sekolah-sekolah,” katanya.

Mengulas lanjut, Rais berkata, satu mesyuarat penyelarasan antara tiga pihak itu perlu segera dibincangkan agar segala usaha menjaga keselamatan pelajar sekolah yang pada masa sama tidak menyusahkan ibu bapa.