Thursday, 8 December 2022

Inisiatif JENDELA hubungkan Orang Asli Gua Musang dengan dunia luar

  • Published in Nasional

GUA MUSANG, 27 September- Kira-kira 30,000 masyarakat orang asli di daerah ini bakal mendapat manfaat daripada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa Satu yang melibatkan pembinaan menara telekomunikasi dan kemudahan fiber optik di perkampungan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Ab Aziz Yusoff berkata JENDELA merupakan satu usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat digital bukan sahaja di kawasan bandar tetapi juga luar bandar, termasuk juga perkampungan orang asli khususnya di Kelantan.

“Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah memberi satu peruntukan yang besar sehingga RM1 bilion di Kelantan untuk memenuhi dan menyampaikan hasrat kerajaan bagi membolehkan seluruh penduduk negeri ini mendapat liputan 4G.

“Program ini merangkumi pembinaan menara telekomunikasi, malah di Gua Musang sahaja sebanyak 21 menara sedang dan akan dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika Program ‘Bergagoh Ma Senoi Bek’ bersama masyarakat orang asli di Pos Pulat, di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Pos Pulat, Fauziah Ajis, 35, berkata dia gembira dengan usaha kerajaan menambah baik infrastruktur telekomunikasi di kawasan tersebut.

“Sebelum ini tiada capaian Internet di rumah dan saya terpaksa berada di kawasan yang lebih tinggi untuk mencari liputan disebabkan capaian Internet di kawasan kampung kami sangat lemah dan bukan semua kampung dapat menikmatinya,” katanya.

(Foto fail)

Sulaiman Along, 45, pula berkata, dia menghadapi kesukaran berkomunikasi dengan masyarakat luar kawasan terutama ketika menghadapi saat genting dan cemas.

“Masalah ini sudah lama, dan saya amat berharap capaian Internet dan talian di kawasan kampung orang asli dapat ditingkatkan kerana kami juga mahu kemudahan seperti di kawasan bandar,” katanya.

Sulaiman juga berkata sebelum ini terdapat syarikat telekomunikasi yang telah membina beberapa pencawang di kawasan kampung mereka namun liputan yang diterima masih lagi lemah. -BERNAMA