Thursday, 8 December 2022

Generasi pertama tarik nafas lega anak-anak dapat hak milik tanah

  • Published in Nasional

SEGAMAT, 27 September- Generasi pertama Felda Pemanis 1 dan 2 sudah boleh menarik nafas lega apabila perjuangan mereka hampir 10 tahun akhirnya berhasil dalam mendapatkan hak milik tanah di kawasan Felda berkenaan.

Kehadiran Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi semalam ternyata membawa khabar gembira kepada 315 penduduk di gugusan Felda berkenaan apabila beliau sendiri menyerahkan notis 5A itu.

Seorang penerima Norehan Hussein, 37, berkata dia yang merupakan generasi kedua di Felda Pemanis 2, bersyukur kerana perjuangan keringat dan membanting tulang bapanya, Hussein Abd Ghani, 70, peneroka asal Felda di sini bersama rakan penduduk asal lain membuahkan hasil.

“Bapa antara yang terlibat dalam memperjuangkan kampung ini, bermula daripada kosong sehingga wujudnya pelbagai kemudahan prasarana.

“Bahkan, dia terbabit dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan turut sama menjaga nama baik Felda,” katanya ketika ditemui pada majlis Penyampaian Notis 5A di Dewan Semai Bakti, Felda Pemanis 2 di sini, semalam.

Turut berkongsi kegembiraan ialah suri rumah, Nor Fadillah Jiran, 37, yang bersyukur menerima sijil pemilikan tanah berkenaan.

“Kami tidak putus asa membuat permohonan untuk memiliki tanah ini, syukurlah kali ini permohonan kami diluluskan dan diberikan Sijil Layak Hak Milik Tanah dan Penyampaian Notis 5A, hari ini.

“Saya tekad untuk mempertahankan tapak tanah kediaman ini sehingga akhir hayat,” katanya.

Sementara itu, kerajaan negeri melalui Pejabat Menteri Besar memperuntukkan sejumlah RM200,000 kepada penerima notis 5A bertujuan menampung kos pengukuran lot tanah, selain pembinaan sebuah dewan serbaguna baharu di Kampung Tengah Segamat bernilai RM250,000, yang boleh dijadikan pusat perlindungan kepada penduduk terutama ketika banjir.

(Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi / FOTO BERNAMA)

Menteri Besar dalam lawatannya ke Sekijang, dekat sini, semalam, turut menyampaikan beberapa peruntukan termasuk RM250,000 untuk membaik pulih bumbung Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Segamat; RM100,000 untuk naik taraf Dewan Pekan Jabi dan RM100,000 bagi membantu Pertubuhan Hemodialisis Muhibah Segamat.

Turut mendapat peruntukan ialah pembangunan empat Kampung Baru Cina di Sekijang dengan jumlah RM355,000. -BERNAMA