Thursday, 8 December 2022

SPRM cari kaedah untuk masyarakat ikuti perkembangan siasatan kes rasuah

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 27 September- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mencari kaedah terbaik bagi membolehkan masyarakat tidak terlepas daripada mengikuti perkembangan terkini sesuatu siasatan dan kes dikendalikan SPRM yang dibawa ke mahkamah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata langkah ini bagi mengikis persepsi masyarakat terhadap badan itu yang sering dikatakan menahan individu berstatus ‘ikan bilis’ atau golongan bawahan, sebaliknya golongan atasan atau disebut ‘jerung’ terlepas daripada sebarang tindakan.

“Berapa banyak ikan bilis SPRM (kenakan tindakan) sekarang berbanding kes berprofil tinggi sebab ini adalah persepsi mereka, kadang-kadang mereka tertinggal dalam mengikuti laporan (kes SPRM) yang dilaporkan media.

“Setiap kes berprofil tinggi yang kami siasat saya rasa SPRM telah melaporkannya termasuklah pertuduhan. Ini tidak, mereka masih mengatakan (kami hanya siasat) ikan bilis, saya pun tidak tahu adakah tangkapan kes Mitra, 1MDB, SRC International, isu skandal kartel itu dikategori sebagai ikan bilis,” katanya kepada Bernama.

Azam berkata SPRM sentiasa melakukan sebaik mungkin untuk mengambil tindakan terhadap kes-kes rasuah yang melibatkan ketirisan dalam negara sama ada dilakukan ‘ikan bilis’ atau ‘jerung’, yang mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara.

“SPRM menjalankan tugas dengan membuat pengesanan, ada kes sebelum ini pegawai kanan kerajaan gred JUSA B kami tahan. Individu ini bukan ikan bilis tetapi seorang yang berprofil tiinggi,” katanya.

Mengenai ada individu yang ditahan untuk siasatan namun dibebaskan, Azam berkata perkara itu berlaku disebabkan ada kes tertentu yang tidak dipersetujui Jabatan Peguam Negara.

“Tidak semua kes akan berakhir dengan pertuduhan dikenakan, kita kena terima fakta itu. Kita kena hormati keputusan Peguam Negara,” katanya sambil menegaskan bahawa Jabatan Peguam Negara tidak pernah menghalang SPRM menjalankan atau meneruskan siasatan sesuatu kes.

(Foto fail)

Berhubung salah laku dalam kalangan anggota dan pegawai SPRM, Azam berkata suruhanjaya itu mempunyai jawatankuasa aduan dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat dalam rasuah atau salah laku.

“Kami ada jawatankuasa aduan, saya telah buktikan sebelum ini yang kami sendiri mendakwa mereka (anggota dan pegawai SPRM ada masalah tatatertib) di mahkamah jika ada salah laku. Saya tidak berkompromi sekiranya ada pegawai atau anggota saya terlibat salah laku.

“Kami tunjuk pada orang awam, tiada benda yang hendak saya sorokkan daripada masyarakat. Jika ada maklumat saya bagi jaminan bahawa kami akan terus menjalankan siasatan,” katanya. -BERNAMA