Sunday, 2 October 2022

JAS kesan pencemaran di Pulau Burung, notis arahan akan dikeluarkan

  • Published in Nasional

NIBONG TEBAL, 22 September - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang akan mengeluarkan Notis Arahan kepada pemilik Tapak Pelupusan Sisa Pepejal (TPS) Pulau Burung Fasa 1, selepas pihaknya menerima aduan mengenai pelepasan air larut resapan, atau leachate dari kolam takungan di tapak berkenaan.

Pengarahnya Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata notis itu akan dikeluarkan kepada pemilik tapak, iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan untuk meningkatkan pemantauan keselamatan serta kawalan pencemaran di tapak.


(Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab)

"Mana-mana premis yang tertakluk di bawah Perintah Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dan didapati gagal mematuhi kehendak Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 boleh dikenakan Arahan Berhenti Kerja", katanya.

Menurut beliau, pihaknya menerima aduan pada petang Selasa. Penduduk menyedari ada aliran air berwarna hitam memasuki kawasan paya bakau bersebelahan sebelum memasuki laut.

Pelepasan dipercayai telah berlaku beberapa jam sebelum aduan diterima.

Siasatan mendapati ada beberapa batang paip dipasang pihak tertentu bagi tujuan menyalurkan sisa air larut resap ke dalam kawasan rezab paya bakau.

Selain itu, sampel diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis dan satu laporan polis turut dibuat.