Sunday, 2 October 2022

Malaysia-Indonesia rancang perbaharui MoU bidang komunikasi, jalin kerjasama perfileman

  • Published in Nasional

(Tan Sri Annuar Musa (kiri) bersama Sandiaga Salahuddin Uno / Foto David Andreas)

JAKARTA, 20 Ogos- Kementerian Komunikasi dan Multimedia merancang untuk memperbaharui memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penerangan dan komunikasi antara Malaysia dan Indonesia serta menjalinkan kerjasama dalam bidang perfileman.

Menurut menterinya Tan Sri Annuar Musa, MoU yang kali terakhir ditandatangani pada 1984 itu perlu diperbaharui selaras dengan perkembangan semasa bidang komunikasi dan industri kreatif.

“Saya sangat gembira kerana Pak Menteri (Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia Sandiaga Salahuddin Uno) akan berkunjung ke Malaysia pada bulan Oktober dan insya-Allah kita ada masa yang cukup untuk membawa memorandum jemaah menteri supaya satu MoU baharu ditandatangani antara Malaysia dan Indonesia,”katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas melakukan kunjung hormat ke atas Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia Sandiaga Salahuddin Uno di Jakarta.

Turut mengiringi, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia Adlan Mohd Shaffieq, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Prof Dr Md Nasir Ibrahim dan Setiausaha Bahagian Antarabangsa Kementerian Komunikasi dan Multimedia Mano Verabathan.

Tambahnya Malaysia dan Indonesia akan menggalakkan produksi filem melalui insentif penerbitan filem di Malaysia (FIMI) sekali gus mengambil peluang pasaran filem dalam bahasa yang berasaskan bahasa Melayu dan Indonesia.

Malaysia turut mengalu-alukan inisiatif Indonesia untuk menganjurkan satu persidangan antarabangsa melibatkan negara dunia ketiga bagi membincangkan ekonomi kreatif pada Oktober di Bali.

“Kami juga akan berkunjung sebagai kunjungan balas sekali gus akan mewujudkan apa yang kita bincangkan tadi berkaitan ‘co-production’ filem Indonesia dan Malaysia yang kita harapkan dapat memperluas kerjasama dan membuka  lapangan kerja yang lebih banyak dalam sektor ekonomi kreatif,” kata Sandiaga Salahuddin Uno.


(Kunjungan hormat Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa ke atas
Menteri Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Indonesia, Sandiaga Salahuddin Uno / Foto David Andreas)