Wednesday, 28 September 2022

Kerajaan tidak peluk tubuh, bantu Keluarga Malaysia depani isu kos sara hidup, inflasi

  • Published in Nasional

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap ketika merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga
Malaysia 2022 Peringkat Negeri Selangor di Perkarangan Stadium Shah Alam hari ini/ Foto BERNAMA)

SHAH ALAM, 19 Ogos - Kerajaan tidak berpeluk tubuh membantu Keluarga Malaysia dalam mendepani isu kos sara hidup dan inflasi.

Sebaliknya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sentiasa berusaha memastikan Keluarga Malaysia kalis cabaran.

Selepas diuji pandemik, dunia kini berdepan pelbagai cabaran baharu dan paling genting ialah perubahan iklim, ketegangan geopolitik dan konflik Rusia-Ukraine. 

Gabungan semua faktor adalah antara punca kepada kenaikan harga barangan sehingga mengakibatkan kos sara hidup meningkat.

Jelas Perdana Menteri, pelbagai strategi jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan kerajaan yang melibatkan kerjasama semua kementerian, kerajaan negeri, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan seluruh Keluarga Malaysia bagi memulihkan ekonomi negara.

Hasilnya pada hari ini ekonomi negara merupakan yang terbaik di Asia Tenggara dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 8.9 peratus bagi suku kedua tahun ini.

"Sebagai sebuah ekonomi terbuka, Malaysia tidak terkecuali daripada tekanan inflasi global. Justeru, kenaikan harga barangan tidak boleh dielakkan sepenuhnya. Bagaimanapun, kadar inflasi negara berada pada paras 3.4 peratus dan angka ini merupakan antara yang terendah di Asia Tenggara.

"Bagi mengurangkan tekanan inflasi terhadap Keluarga Malaysia, kerajaan telah membelanjakan peruntukan subsidi sebanyak RM77.3 bilion yang merupakan jumlah subsidi terbesar dalam sejarah negara, meliputi petrol, diesel, LPG, minyak masak, tepung dan elektrik," kata beliau ketika berucap merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Selangor, di sini hari ini.


(Perdana Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob (tengah) bersama para hadirin mengibarkan Jalur Gemilang selepas
merasmikan Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia 2022 Peringkat Negeri Selangor di perkarangan Stadium
Shah Alam hari ini/ Foto BERNAMA)

Dasar yang dilaksanakan kerajaan tersebut bertujuan membendung inflasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang terlalu mendadak, dan pada masa yang sama membantu Keluarga Malaysia yang perlu dari segi bantuan langsung seperti Bantuan Kebajikan Masyarakat, bantuan pertanian, nelayan dan sebagainya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan buat pertama kalinya jumlah dagangan Malaysia melepasi paras RM2 trilion pada tahun lalu.

Kadar itu meningkat 24.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, berikutan prestasi memberangsangkan bagi kedua-dua eksport domestik dan eksport semula.

Beliau juga optimis pelabur asing terus berminat untuk menanam modal di negara ini hasil polisi dan dasar yang dilaksanakan kerajaan.

"Bagi tempoh sembilan bulan yang lalu sehingga Jun 2022, negara kita merekodkan nilai pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak RM74.1 bilion sekali gus mengatasi jumlah FDI tahunan pada tahun 2021, 2020, 2019 dan 2018," jelas Perdana Menteri.

Kejayaan yang dicapai tersebut membuktikan ekonomi negara kini semakin pulih dan kerajaan terus komited dalam menjayakan inisiatif yang telah diumumkan sebelum ini.