Wednesday, 28 September 2022

Kebakaran: Empat rumah hangus, enam penghuni hilang tempat tinggal

  • Published in Nasional

(FOTO FB Melaka Hari Ini)

MELAKA, 19 Ogos - Empat buah rumah terbakar dalam kejadian di sebuah penempatan tanah wakaf berhadapan Pangsapuri Bukit Piatu malam tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 10.30 malam itu menyebabkan seorang lelaki cedera manakala lima lagi penghuni rumah berusia lebih separuh abad terselamat.

Salah seorang mangsa, Cheah Wei Liang, 43, yang bekerja sebagai juruteknik mengalami lecur di dada dan lengan kirinya dalam kebakaran melibatkan empat rumah separa kayu yang berusia lebih 50 tahun. 

"Ketika kejadian, saya berada di rumah sendiri yang tidak jauh dari rumah ibu saya dan jiran memaklumkan ada rumah di sebelah rumah keluarga saya itu terbakar.

"Saya cuba memadamkan kebakaran selepas mereka berdua berjaya keluar menyelamatkan diri namun api merebak dan marak dengan cepat hingga memusnahkan rumah ini," katanya ketika ditemui pemberita lewat malam tadi.


(Keadaan lengan Cheah Wei Liang yang melecur terkena percikan api ketika cuba menyelamatkan
barangan peribadi keluarganya dalam kejadian kebakaran di Bukit Piatu/ FB Melaka Hari Ini)

Sementara itu, Pegawai Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Zulkhairani Ramli berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan kebakaran sebuah rumah di kawasan tersebut pada 10.34 malam.

Katanya tiga jentera dan sebuah jentera perkhidmatan perubatan kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dan BBP Melaka Tengah dengan kekuatan 34 anggota dan pegawai dikerahkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, didapati api dari rumah pertama itu sudah merebak ke rumah kedua, tiga dan empat.

"Bagaimanapun kami berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke rumah lain dan ke semua enam penghuni rumah berusia antara 30-an dan 60-an terselamat sebelum api berjaya dikawal 11 minit kemudian. Tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan,” katanya ketika ditemui di lokasi.

Tambah beliau pihaknya berdepan sedikit cabaran untuk memadam kebakaran kerana jarak rumah berkembar yang rapat antara satu sama lain, sekali gus memudahkan api merebak dengan cepat.

"Struktur binaan kayu menyebabkan api merebak dengan cepat di bahagian atas rumah namun kepantasan bomba berjaya mengelakkan ia merebak ke rumah lain," katanya sambil menambah punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.


(Pegawai Zon 1 JBPM Melaka, Zulkhairani Ramli)