Wednesday, 28 September 2022

Visi Tun Abdul Razak wajar didokumentasi sebagai bahan sejarah

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 19 Ogos- Visi Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein dalam menerajui negara ketika menghadapi pelbagai isu pada era 70-an wajar dikaji semula dan diselidik sekali gus didokumentasi sebagai cerminan sejarah kepada rakyat masa kini.

Felo Penyelidik East Asian International Relations Caucus (EAIR Malaysia) Datuk Dr Ruhanie Ahmad berkata ia susulan kecekapan Perdana Menteri Kedua itu dalam menangani isu berkaitan ketidakstabilan ekonomi, politik dan keselamatan yang membawa tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969.

Beliau yang juga Penganalisis Pertahanan dan Keselamatan berkata pandangan jauh Allahyarham telah membuka jalan kepada pelaksanaan beberapa dasar atau doktrin utama negara termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), Rukun Negara dan skim Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) yang diamalkan sehingga hari ini.

“DEB dilaksanakan untuk menyelesaikan isu keresahan kaum, keselamatan sosioekonomi dan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dan mempunyai taraf pencapaian ekonomi yang lebar jurangnya, manakala Rukun Negara mengukuhkan perpaduan kaum dan keselamatan masyarakat serta nasional.

“Skim Felda diperkenalkan sebagai strategi mengatasi kemiskinan dan masalah keselamatan sosioekonomi rakyat, terutamanya Melayu dan Bumiputera,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV, bertajuk ‘Legasi Kemajuan Berintegriti’ (Sempena 100 tahun kelahiran Tun Abdul Razak Hussein), malam tadi.

Mengulas lanjut, Ruhanie berkata Felda diwujudkan berikutan kemunculan semula gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) selepas peristiwa 13 Mei di kawasan yang menjadi laluan strategik kepada pengganas PKM dari selatan Thailand ke merata negeri di Semenanjung Tanah Melayu (pada masa itu) menerusi kawasan pergunungan.

Beliau turut berkongsi cetusan idea pembentukan Barisan Nasional (BN) oleh Bapa Pembangunan itu untuk mengukuhkan keselamatan politik parti pemerintah Malaysia di era pasca peristiwa tersebut, di samping menghadapi masalah ketidakstabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum (PRU) pada tahun itu.

“Pembentukan BN menerusi penambahan komponen Perikatan (UMNO, MCA dan MIC) dengan kemasukan parti Gerakan, PPP dan PAS serta beberapa parti dari Sabah dan Sarawak merupakan susunan politik yang unik pada masa itu,” katanya.

(Foto fail)

Terdahulu hari ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) meraikan dan menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 Allahyarham dengan mengadakan persidangan meja bulat membincangkan warisan serta legasi Tun Abdul Razak yang penuh makna, integriti dan hemah serta wajar dikekal dan dilangsungkan ke masa hadapan negara dan bangsa.

Timbalan Pengerusi MPM Prof Datuk Dr Zainal Kling berkata persidangan itu bertujuan menghimpunkan kalangan sahabat, pegawai dan warga kota khususnya golongan muda bagi membincangkan sumbangan agung dan kekayaan daya bakti selama berkhidmat untuk negara dan bangsa.

“MPM juga merancang untuk mengadakan pelbagai kegiatan, khususnya melibatkan golongan mahasiswa untuk mendidik nilai murni yang ditonjolkan oleh Tun Abdul Razak agar golongan tersebut dapat memupuk semangat cintakan negara,” katanya pada sidang media Sempena Sambutan 100 Tahun Kelahiran Tun Abdul Razak di sini.

Abdul Razak merupakan Perdana Menteri kedua yang mentadbir negara dari 1970, sehingga beliau menghembuskan nafas terakhirnya pada 14 Jan 1976 ketika berusia 54 tahun di London. -BERNAMA