Wednesday, 28 September 2022

YDP Agong berkenan terima menghadap Naib Presiden Turkiye di Ankara

  • Published in Nasional

(FOTO ISTANA NEGARA)

ANKARA, 18 Ogos- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Naib Presiden Turkiye, Fuad Oktay di Hotel JW Marriot Ankara bersempena lawatan negara baginda ke Turkiye.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, sesi menghadap tidak berjadual itu diadakan susulan pertemuan empat mata dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam Majlis Sambutan Negara pada Selasa lalu.

Turut hadir; Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin, Menteri Tenaga dan Sumber Asli Turkiye, Fatih Donmez, Gabenor Bank Negara Turkiye, Sahap Kavcioglu, CEO Turkish Petroleum, Melih Han Bilgin dan Duta Turkiye ke Malaysia, Emir Salim Yuksel.

Dalam sesi yang berlangsung selama sejam hari ini, beberapa isu telah dibincangkan khususnya berkaitan hubungan dua hala.

(YDP Agong berkenan terima menghadap Naib Presiden Turkiye di Ankara/ISTANA NEGARA)

Pendekatan itu selaras dengan lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada bulan lepas yang menyaksikan hubungan dua hala antara Malaysia dengn Turkiye dipertingkat daripada Kerangka Kerja Bagi Kerjasama Strategik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.

Selain memperkukuh kerjasama dalam bidang-bidang sedia ada, kedua-dua negara turut menerokai bidang-bidang baharu seperti keselamatan makanan, pendidikan, komoditi, perkhidmtan kewangan, pertahanan, minyak dan gas serta tenaga yang boleh diperbaharu.

Tahun ini merupakan tahun ke-58 hubungan diplomatik Malaysia-Turkiye yang telah terjalin sejak tahun 1964.

Malaysia dan Turkiye telah menandatangani 23 perjanjian dan memorandum persefahaman (MoU) sejak 1977 dan hubungan perdagangan antara kedua-dua negara semakin berkembang sejak termeterainya Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) pada 2014.

Turkiye adalah rakan kongsi perdagangan ketiga terbesar Malaysia di Asia Barat selepas Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Perdagangan antara kedua-dua negara berjumlah RM16.97 bilion pada tahun lalu dengan jumlah eksport bernilai RM14.12 bilion manakala jumlah import bernilai RM2.84 bilion.

Antara import utama Malaysia dari Turkiye ialah besi dan logam, produk petroleum, barangan kemas, tekstil dan pakaian.

Laporan Farhana Azwanee Ismail.