Wednesday, 28 September 2022

500 pelajar dijangka memasuki UKKM September ini

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 16 Ogos- Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) yang diterajui oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) di bawah naungan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dijangka memulakan operasi pada September ini dengan pengambilan pelajar sebanyak 500 orang.

Menterinya Tan Sri Noh Omar berkata universiti itu sedang menunggu kelulusan daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang akan memberi pengiktirafan kepada 15 program dalam bidang keusahawan koperasi serta pengurusan koperasi bagi peringkat Diploma sehingga Doktor Falsafah (PhD).

“Objektif penubuhan universiti ini adalah melahirkan tenaga mahir dan profesional dalam bidang pengurusan perniagaan khasnya berkaitan keusahawanan koperasi dengan mengoptimumkan sumber melalui guna sama kepakaran antara agensi di bawah kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis Malam Jalinan Mesra Bersama 100 Koperasi Terbaik di sini malam tadi.

Katanya, penggabungan kepakaran semua agensi berupaya menghasilkan standard pendidikan bercirikan keusahawanan koperasi di Malaysia.

“Bagi merealisasikannya, koperasi perlu bersama-sama menyokong penubuhan universiti dengan memberikan komitmen melalui perkongsian dana modal yang diperlukan dan jalinan kerjasama strategik seperti penajaan pembiayaan pengajian serta penghantaran anggota, warga kerja koperasi ke UKKM,” katanya.

Noh berkata koperasi juga wajar membuka peluang pelajar UKKM menjalani latihan industri di koperasi dan akhirnya menawarkan peluang pekerjaan kepada graduan lepasan universiti tersebut.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar

“Ini secara tidak langsung dapat melahirkan barisan kepimpinan dan pengurusan koperasi yang kompeten, profesional serta berwibawa dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian Anugerah Lestari Modal Insan Koperasi 2022 sebagai pengiktirafan kepada koperasi kluster besar, sederhana, kecil dan mikro yang giat membangunkan modal insan koperasi terdiri daripada Anggota Lembaga Koperasi, Pengurusan Koperasi mahupun anggota.