Wednesday, 28 September 2022

Malaysia sambut baik kerjasama dengan Qatar dalam pelbagai bidang

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 13 Ogos- Malaysia menyambut baik potensi kerjasama dengan Qatar dalam pelbagai bidang seperti bahagian tenaga, minyak dan gas serta sektor perumahan dan pembangunan infrastruktur.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Malaysia dan Qatar juga mampu membangunkan strategi sekuriti makanan menerusi kerjasama antara Baladna Food Industries dengan FGV Holdings Bhd dalam pembangunan ladang lembu tenusu di Chuping, Perlis dan di Pahang tidak lama lagi.

Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri berkata beliau menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di pejabatnya di sini, semalam.

Perbincangan yang diadakan diharap mampu meningkatkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan merangka hala tuju mengenai pelbagai isu kepentingan bersama.

Pada pertemuan itu, Perdana Menteri turut menzahirkan ucapan penghargaan atas sumbangan AS$50 juta melalui dana Qatar untuk Pembangunan (QFFD) bagi kebajikan pelarian Rohingya di Malaysia terutama dalam bidang kesihatan dan pendidikan.

Pertemuan kedua-kedua pemimpin itu adalah susulan lawatan rasmi pertama Datuk Seri Ismail Sabri ke Qatar pada Mac lepas.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima kunjungan Timbalan Perdana Menteri
merangkap Menteri Luar Qatar Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani di pejabatnya

Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Qatar yang akan menjadi tuan rumah Piala Dunia 2022.

Lawatan rasmi dua hari Sheikh Mohammed ke Malaysia antara lain adalah sebagai persiapan awal untuk Lawatan Negara oleh Amir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani ke negara ini pada tahun depan.