Wednesday, 28 September 2022

Pemaju perumahan, syarikat telekomunikasi digalak bekerjasama sedia akses perkhidmatan internet

  • Published in Nasional

PUTRAJAYA, 11 Ogos- Pemaju perumahan dan syarikat telekomunikasi digalakkan bekerjasama untuk menyediakan akses perkhidmatan jalur lebar kepada penduduk di kawasan perumahan yang dibangunkan.

Menurut Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohammad Mentek, inisiatif itu dapat meningkatkan usaha kerajaan menyebar luas penggunaan internet selaras matlamat Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Katanya penyambungan internet merupakan salah satu syarat dalam mendapatkan kelulusan Kebenaran Merancang (KM).

(Datuk Seri Mohammad (tengah) berkata pemaju perumahan, syarikat telekomunikasi
digalak bekerjasama sedia akses perkhidmatan internet)

"Jadi garis panduan telah pun disediakan kepada pemaju-pemaju perumahan dan mereka yang terlibat dalam pembangunan untuk turut sama menyediakan kemudahan jalur lebar ke kawasan pemajuan yang diperlukan. Seperti juga kemudahan-kemudahan lain, air dan elektrik jadi ni merupakan satu tambahan kepada apa yang ada sekarang," kata Mohammad selepas menyaksikan majlis menandatangani kerjasama antara Tanjung Ratna Sdn Bhd dengan Maxis di sini.

Kerjasama itu melibatkan penyediaan kesalinghubungan jalur lebar gentian berkelajuan tinggi bagi Projek Kondominium, Admiral Residences di Melaka.

(Datuk Seri Mohammad Mentek)