Wednesday, 28 September 2022

Fokus utama kerajaan memperhebat nilai simpanan pencarum KWSP - Mohd Shahar

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 8 Ogos - Fokus utama kerajaan pada ketika ini adalah untuk memperhebat nilai simpanan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain menjadi insurans perlindungan buat mereka yang bekerja sendiri mahupun mempunyai majikan.

Itu penjelasan Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Razali Idris mengenai adakah kerajaan akan melaksanaan pengeluaran khas KWSP 2.0.

Katanya, pelbagai strategi telah dirancang untuk kesedaran kepada pencarum khususnya rancangan persaraan yang memberi keuntungan kepada mereka.

"Kita akan terus memastikan objektif pelaburan KWSP untuk melindungi dan menambah nilai simpanan ahli dapat dicapai terutamanya dalam waktu mencabar.

"Yang paling penting kerajaan sekarang ini sedang menangani bagaimana peluang pekerjaan di pasaran, kadar gaji yang minimum diberikan kepada majikan dan kerajaan nak bantu bukan saja sektor formal malah sektor tidak formal," katanya pada sesi pertanyaan dan jawab lisan di parlimen hari ini.

Terdahulu, beliau berkata tahap simpanan ahli KWSP adalah rendah dan sangat membimbangkan terutamanya setelah perlaksanaan empat fasiliti pengeluaran berkaitan COVID-19 iaitu i-Lestari, i-Sinar, i-Citra serta Pengeluaran Khas sebanyak RM155 bilion.

Beliau turut memaklumkan seramai 6.62 juta ahli KWSP berumur bawah 55 tahun mempunyai simpanan kurang daripada RM10,000.



(Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah)