Wednesday, 28 September 2022

Mangsa kes tetak meninggal dunia

  • Published in Nasional

(Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan)

SUNGAI PETANI, 7 Ogos- Mangsa kes tetak dengan pedang di tapak sebuah projek perumahan di Bukit Bayan Sungai Petani, Kedah dua hari lalu meninggal petang tadi ketika menerima rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Zaidy Che Hassan mengesahkan kematian pegawai keselamatan terbabit. Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.00 petang itu, mangsa, Ismail Ahmad, 58 tahun, cedera parah pada kepala dan tangan dikejarkan ke HSAH untuk menerima rawatan.

Mangsa mendakwa ditetak pada kepala dan tangan kiri menggunakan parang selepas beliau menegur tindakan seorang lelaki yang menunggang motosikal secara berbahaya di tapak projek itu.


(Foto hiasan)

Punca kematian mangsa hanya akan diketahui selepas proses bedah siasat.

Terdahulu, seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Sungai Petani atas pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan (KK) kerana mendatangkan kecederaan menggunakan sebilah pedang terhadap mangsa.

Tertuduh, R Subramaniam, 41 tahun mengaku bersalah terhadap perbuatannya itu sebelum mahkamah menetapkan 29 Ogos depan untuk tarikh jatuh hukum sementara menunggu laporan perubatan penuh mangsa.