Friday, 19 August 2022

Pelbagai platform disediakan, mudahkan umat Islam berwakaf

  • Published in Nasional

KOTA BHARU, 27 Jun- Pelbagai platform disediakan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) bagi memudahkan umat Islam di negeri itu untuk berwakaf.

Antaranya, transaksi secara dalam talian, potongan gaji dan debit terus menerusi sistem Waqaf Tunai MAIK.

Platform itu dilihat lebih fleksibel berbanding kaedah secara fizikal atau bersemuka, malah aset untuk diwakafkan juga boleh dipelbagaikan.

Menurut Yang Dipertua (YDP) MAIK, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz kepelbagaian saluran yang diperkenalkan itu mampu menjadi daya tarikan kepada orang ramai untuk berwakaf.


(Yang Dipertua MAIK, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz)

"Insya-Allah, kita yakin wakaf yang kita dapat terima tahun ini dan tahun hadapan akan lebih bertambah lagi", katanya kepada media selepas melancarkan Bulan Wakaf MAIK 2022 di Dewan Besar Balai Islam, di sini.

Majlis tersebut turut dihadiri Mufti Negeri Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Pada majlis sama, berlangsung acara menandatangani perjanjian usahasama wakaf antara MAIK dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Mengulas lanjut, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam berkata MAIK sudah membelanjakan lebih RM1 juta untuk pelbagai projek Waqaf Tunai MAIK.

Manakala menerusi program Waqaf Tunai Kesihatan, MAIK menyumbangkan pelbagai jenis mesin perubatan antaranya mesin 'ultrasound', kardiotografi dan 'flow oxigen'.

Selain Waqaf Tunai, MAIK turut menerima pewakafan tanah yang mana sehingga Mei tahun ini, terdapat 1,257 lot tanah bersamaan 503.2 hektar tanah sudah didaftarkan dan kini dibawah kawalan MAIK.