Friday, 19 August 2022

EWS dibangunkan di kawasan berisiko bencana

  • Published in Nasional

YAN, 26 Jun- Kawasan yang dikenal pasti berisiko tinggi berlaku bencana geologi aliran puing akan diberi keutamaan untuk dibangunkan Sistem Amaran Awal Bencana Geologi Aliran atau Early Warning System (EWS) sebagai persediaan menghadapi bencana itu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia mempunyai maklumat berkenaan lokasi berisiko terbabit namun ia tidak boleh didedahkan buat masa ini.

"Itu berdasarkan perancangan JMG dan juga KETSA sendiri. Kita melihat atas keperluan. Tadi saya bincang dengan Ketua Pengarah, ikut keutamaan. Mungkin ada satu kawasan itu yang pada pandangan pakar kita, ada risiko dan perlu diberi keutamaan. Kita tidak boleh tunggu sehingga kejadian bencana berlaku baru nak ambil tindakan.

"Macam di Sabah selalu berlaku, mungkin kita kena tengoklah nanti. Saya sudah pergi ke Sabah dan tengok risiko-risiko di kawasan tertentu di sana. Ini satu masalah ada, pembangunan dibuat di kawasan berisiko tinggi. Ada jambatan perlu berhenti atas nasihat JMG, tidak boleh diteruskan", katanya kepada pemberita selepas menghadiri program kesedaran EWS Bencana Geologi Aliran Puing bersama Komuniti Jerai Geopark di sini,hari ini.


(Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan)

Beliau berkata EWS yang dipasang Titi Hayun di sini ekoran bencana geologi aliran puing pada Ogos tahun lalu merupakan projek rintis yang akan dijadikan sebagai penanda aras dan model nasional dalam pengurangan risiko bencana geologi aliran puing.

Katanya, sistem tersebut yang ketika ini sudah beroperasi akan dipasang di lokasi lain berdasarkan perancangan yang sedang dirangka kementerian dan JMG.

Selain itu, Datuk Seri Takiyuddin berkata JMG juga akan mengenal pasti pembangunan-pembangunan baharu termasuk projek infrastruktur di kawasan berisiko tinggi yang boleh mengundang kepada kejadian yang tidak diingini.

Sistem EWS di Titi Hayun dibangunkan melalui kerjasama pintar antara JMG dan Universiti Teknologi Malaysia serta diintegrasikan dengan Sistem Amaran Awam oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Dalam kejadian pada 18 Ogos tahun lepas, bencana geologi aliran puing di Gunung Jerai telah mengorbankan enam mangsa dan menyebabkan banjir lumpur di beberapa kawasan di sini dan daerah Kuala Muda.