Friday, 19 August 2022

Salam Baitullah edisi ke-14 papar kelainan bermula malam ini

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 26 JUN - Program musim haji yang berjaya meraih rating lebih 12 juta penonton, Salam Baitullah edisi Ke-14 akan memulakan siarannya bermula pukul 9 malam ini.

Bertemakan 'Satu Kerinduan, Suatu Kepastian', program Salam Baitullah akan bersiaran secara langsung dengan menyiarkan liputan perjalanan ibadah haji bermula dari persediaan awal hingga pada Hari Wukuf.

Penerbit Eksekutif Salam Baitullah, Azman Hashim memaklumkan selain memaparkan perkembangan dan situasi terkini di Tanah Suci Mekah, pihaknya juga menyediakan segmen khas kepada penonton tahun ini.

"Pada tahun ini kami akan memberi sedikit kelainan di dalam Salam Baitullah, yang mana kami akan memaparkan satu segmen khas iaitu Rehlah (kisah perjalanan), yang membawakan penonton tempat yang jarang dikunjungi oleh jemaah dan memberi penerangan tempat tersebut yang lebih dekat dengan tanah suci.

"Saya harap Salam Baitullah kali ini dapat memberi kepuasan kepada penonton dan mencapai matlamatnya yang membawa ibadah haji itu dekat kepada penonton di Malaysia," katanya.

Tambah penerbit Salam Baitullah, Mohd Rafael Ramlan, program yang bakal bersiaran 16 episod ini akan menyediakan dua episod istimewa kepada penonton .

"Salam Baitullah akan bersiaran 15 hari, kami akan memaparkan dua episod istimewa pada Hari Wukup dan juga malam raya yang bersiaran selama 2 jam bagi setiap dua episod ini. Bermula pada pukul 6 petang hingga 8 malam adalah siaran yang pertama untuk Hari Wukuf yang kami bawakan secara langsung kepada penonton Khutbah Arafah," katanya kepada RTM, di sini.

Dalam pada itu, pelbagai hadiah menarik telah disediakan kepada para penonton yang berjaya menjawab soalan kuiz edisi khas program tersebut.

Salam Baitullah bersiaran bermula pada malam ini di saluran TV 1, pukul 9 malam.