Tuesday, 16 August 2022

Selangor kesan satu lagi kluster 'ILI'

  • Published in Nasional

SHAH ALAM, 24 Jun- Satu lagi kluster 'Influenza Like Illness' (ILI) dikesan di Selangor.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, ia membabitkan sebuah sekolah menengah berasrama di Petaling.

Kluster dikesan Selasa lalu, selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) menerima maklumat bahawa 110 pelajar bergejala demam, batuk, selsema dan sakit tekak.

Kes pertama dikenal pasti bergejala sejak 14 Jun lalu. Setakat semalam, 191 pelajar pelajar disahkan mempunyai gejala jangkitan saluran pernafasan atas seperti demam, batuk, selesema dan sakit tekak.


(Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman/BERNAMA)

Kadar serangan jangkitan adalah 32.5 peratus.

"Lima daripada 191 pelajar itu, positif influenza A, manakala 13 sampel lagi, masih menunggu keputusan", katanya menerusi kenyataan hari ini.

"Satu kes berada di hospital untuk pemantauan dan berada dalam keadaan stabil. Ujian COVID-19 ke atas 30 pelajar bergejala mendapati, kesemuanya negatif.

Asrama sekolah berkenaan ditutup sementara untuk disinfeksi dan mengawal penularan virus.

Keputusan membuka semula asrama tersebut bergantung kepada penilaian risiko ulangan dijalankan PKD Petaling.

19 Jun lalu, satu kluster ILI dikesan membabitkan sebuah sekolah berasrama penuh di Gombak, Selangor.

226 pelajar mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan, manakala, enam daripadanya didapati positif Influenza A.