Saturday, 25 June 2022

TH nasihat orang ramai tidak terpedaya pakej 'visa furada'

  • Published in Nasional

(TH mempunyai 20 agensi yang sah beroperasi dan dilesenkan untuk mengendali
pakej ibadah haji mengikut kuota rasmi yang ditetapkan.

MAKKAH, 23 Jun- Orang ramai diingatkan supaya tidak terpedaya dengan penawaran visa furada dengan pakej yang boleh mencecah lebih RM50,000.

Namun tiada sebarang jaminan visa haji diluluskan kepada pemohon.

Visa furada ialah visa yang diuruskan sendiri dan dilapor dikeluarkan oleh Arab Saudi tanpa melibatkan jumlah kuota Tabung Haji (TH).

Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata sehingga kini Arab Saudi tidak memaklumkan mengenai pengeluaran visa furada musim haji tahun ini.

Sekali gus menasihati mereka yang telah membuat pembayaran perlu lebih berhati-hati.

(Ketua Rombongan Haji Malaysia Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman)

"Kami dapati ada juga agensi-agensi yang tidak diiktiraf TH menawarkan pakej visa furada ini,

"Saya amat berharap umat Islam Malaysia khususnya tidak terperdaya dengan sebarang iklan yang dikeluarkan," katanya kepada pemberita di Makkah.

TH juga katanya seringkali mengingatkan risiko haji furada apatah lagi kerajaan Arab Saudi menetapkan pelbagai syarat untuk musim haji tahun ini.

Beliau turut mengingatkan individu atau syarikat yang menawarkan visa furada tanpa lesen boleh dikenakan tindakan di bawah Akta TH iaitu kesalahan kerana mengiklan atau mengendalikan haji tanpa mempunyai lesen daripada TH.

Katanya adalah menjadi satu kesalahan mengikut Akta Tabung Haji 1995 mengiklan atau mengendaikan ibadat haji tanpa mempunyai lesen dan kelulusan yang sah dari TH.