Saturday, 25 June 2022

Pelancaran satelit MEASAT-3d bantu rapatkan jurang digital, tarik minat anak muda sertai bidang aeroangkasa - PM

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 23 Jun - Pelancaran satelit MEASAT-3d diharap dapat membantu merapatkan jurang digital, seterusnya menarik lebih ramai anak muda menceburi bidang aeroangkasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata dengan pelancaran satelit itu juga, keupayaan capaian Internet di kawasan bandar dan luar bandar akan lebih ditingkatkan di seluruh negara.

Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pelancaran satelit MEASAT-3d di Kourou, French Guinea sebagai hari yang penuh bersejarah.


(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hadir ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur
menyaksikan secara langsung pelancaran satelit MEASAT-3d) 

Terdahulu, Perdana Menteri, hadir ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menyaksikan secara langsung pelancaran satelit itu dari Pusat Angkasa Lepas Eropah Kourou, French Guinea, Amerika Selatan.

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba; dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Satelit kelapan yang dianggar melibatkan kos RM1.2 bilion dengan jangka hayat 18 tahun itu, dijangka mampu merapatkan jurang ketersambungan digital dan membentuk masa depan ketersambungan yang lebih baik untuk rakyat Malaysia, selaras inisiatif kerajaan melalui pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).