Saturday, 25 June 2022

KPNDHEP pantau penguatkuasaan, pastikan tiada penyelewengan minyak masak -Nanta

  • Published in Nasional

(Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada sidang media di Putrajaya)

PUTRAJAYA, 22 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memantau bekalan serta pasaran minyak masak berbotol dan paket bersubsidi bagi memastikan harga terkawal dan tiada unsur ketirisan, menurut menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

"Kami di KPDNHEP yg penting adalah berkenaan dengan penguatkuasaan supaya apa yg telah diputuskan kita pastikan kesemuanya berjalan dengan lancar

"Kita ada lebih 2,000 anggota penguat kuasa, 72 Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) yang dapat bergerak pantas apabila ada aduan dan hampir 1,000 pegawai pemantau harga yang membantu memantau keadaan bagi memastikan tidak berlaku ketirisan dalam penggunaan minyak masak," katanya kepada pemberita selepas sidang media khas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di sini.

Nanta berkata KPDNHEP melakukan advokasi lebih kerap supaya pengguna memahami keadaan berhubung pegumuman subsidi minyak masak yanf diumumkan kerajaan.

Katanya, pihaknya juga akan memantau berterusan berhubung tindakan menghadkan pembelian minyak masak paket satu kilogram yang bersubsidi.

Mengulas mengenai penarikan subsidi minyak masak berbotol seperti diumumkan kerajaan, tambahnya, KPDNHEP turut berharap kerjasama dapat diberikan oleh rakyat terutama dalam mendapatkan minyak masak bersubsidi.

(Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan terus memantau bekalan
serta pasaran minyak masak berbotol dan paket bersubsidi/FOTO FAIL)

"KPDNHEP merayu kepada pengguna agar faham dengan keadaan dan membantu kita mengendalikan program ini, sebab minyak bersubsidi kita hanya benarkan pembelian satu hingga dua peket sahaja.

"Jadi janganlah pergi ke kedai beli satu kotak, itu tidak patut dan salah... peraturan kami dah tetapkan," katanya lagi.

Semalam, Nanta mengumumkan subsidi minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan dimansuhkan bermula 1 Julai ini,

Nanta menjelaskan, keputusan itu menyebabkan harga minyak masak tulen botol dua hingga lima kilogram akan mengalami kenaikan.

Bagaimanapun Nanta menjelaskan, subsidi bagi minyak masak paket satu kilogram (kg) masih diteruskan.

Beliau mengumumkan pemansuhan subsidi itu dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Mengenai Isu Harga dan Bekalan bersama pemain-pemain industri, persatuan pengguna, ahli akademik, ahli ekonomi dan ketua-ketua pengarang media di sini, semalam.