Saturday, 25 June 2022

BKM: Bayaran tambahan kepada penerima, 27 Jun ini

  • Published in Nasional

(BKM memberi manfaat kepada hampir 8.6 juta penerima, merangkumi 4 juta isi rumah,
1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang/FOTO HIASAN)


KUALA LUMPUR, 22 Jun- Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan mengambil keputusan menyalurkan bantuan tunai tambahan itu kepada golongan B40, masing-masing RM100 bagi isi rumah dan RM50 untuk individu bujang.

Beliau berkata, setiap penerima bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing dengan bantuan tunai tambahan dibayar bersekali dalam bayaran Fasa 2, membabitkan peruntukan tambahan bernilai RM630 juta.

"Pada 1 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan bahawa bantuan tunai akan diberikan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup apabila kerajaan tidak lagi memberikan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.

"Bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana kerajaan," katanya.

Katanya, ia akan memberi manfaat kepada hampir 8.6 juta penerima, merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas dan 3.4 juta individu bujang.

"Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun ini, membabitkan peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

 

(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan, tambahan bayaran RM50 dan RM100 kepada
penerima Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) selepas mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan ketika ini)


"Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40, terutamanya bagi menyambut Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan seperti dijadualkan.

"Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM sudah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500, tahun ini. Bantuan ini adalah tertinggi yang pernah diberikan mana-mana kerajaan," katanya pada sidang media khas secara maya di Putrajaya.

Ismail Sabri berkata, BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40 dengan semakan status pembayaran boleh dibuat bermula Isnin ini, melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

"Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar," katanya.