Tuesday, 29 November 2022

Pusat Rehabilitasi PERKESO bakal dibina di Perak

  • Published in Nasional

IPOH, 11 Jun- Sebuah lagi Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang dilengkapi dengan pelbagai teknologi berasaskan robotik dan kemudahan canggih akan dibina di negeri Perak.

Pusat Rehabilitasi dengan kos lebih RM600 juta itu merupakan yang kedua di negara ini selepas Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Melaka.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata pusat itu akan menjadi mercu tanda moden sekali gus membawa revolusi baharu dalam perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan kepada pekerja.

Ia akan mengguna pakai teknologi robotik dari Jepun iaitu Hybrid Assistive Limb (HAL) yang pertama seumpamanya di Asia Tenggara dan dijangka siap pada 2024.


(Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M.Saravanan)

Beliau berkata, pusat rehabilitasi bertaraf antarabangsa itu merupakan projek ikonik di Perak dan ia akan menjadi destinasi tarikan pelancong bagi sektor kesihatan dari dalam dan luar negara.

"Ramai warga Malaysia khususnya di luar bandar tidak sedar apabila mereka mengalami kemalangan dan kecederaan mereka boleh kembali baik pulih melalui program-program pemulihan. Ada orang yang langsung tidak boleh jalan pun boleh menggunakan robot untuk berjalan.

Katanya kemudahan itu membolehkan golongan pekerja yang hilang upaya akibat kemalangan atau penyakit dibantu menerusi rehabilitasi fizikal dan vokasional sehingga mampu kembali ke alam pekerjaan.

"Hampir 400 peluang pekerjaan tetap akan diwujudkan untuk mengendalikan perkhidmatan dan kemudahan di pusat ini malah memberi ruang dan peluang kepada pekerja khususnya anak-anak muda untuk membina kerjaya dengan mendalami selok-belok industri rawatan kesihatan berteknologi tinggi', katanya pada sidang media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah kompleks itu bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.