Monday, 27 June 2022

Baki projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah guna peruntukan Kerajaan Persekutuan

  • Published in Nasional

SANDAKAN, 27 Mei - Baki 19 daripada 35 Pakej Kerja (WP) dalam fasa pertama projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah akan dilaksana menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.

Ia tidak akan dilaksana menerusi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) seperti dicadang Kerajaan Negeri.

Tujuannya bagi mempercepat pelaksanaan projek berkenaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kaedah pelaksanaan dan perolehannya telah dimuktamad Kementerian Kewangan.

Jelas beliau kementeriannya komited untuk mempercepat pelaksanaan WP Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah.

Fokusnya tertumpu kepada WP 28, 29, 30 masing-masing membabitkan kerja naik taraf Jalan Sandakan Batu 32-Moynod, Jalan Moynod-Sapi Nangoh dan Jalan Sapi Nangoh-Sungai Baoto.

Tumpuan turut diberi terhadap keadaan jalan raya Telupid memandangkan ia merupakan laluan utama menghubungkan daerah Pantai Barat dan Timur Sabah.

Bagaimanapun usaha membaik pulih laluan Telupit tidak dapat dijalankan kerana melibatkan kos yang tinggi.

(Fadillah bercakap kepada media di Sandakan)

"Sudah pasti cabaran kita bagaimana menyelenggara jalan Telupid yang merupakan tempoh hayatnya sudah habis. Kalau mengikut strategi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, mereka mahu membina jalan baru, kerana peruntukannya, jika mahu membaiki dan membuka jalan, ia melibatkan kos yang besar. Tetapi jalan ini akan dibuka untuk membina jalan Pan Borneo. Jadi apa yang dilakukan JKR Sabah adalah untuk memastikan dua lorong baru itu nanti dibina dahulu," kata Fadillah di sini.

Terdahulu beliau meninjau WP 27, melibatkan kerja naik taraf jalan dari Kampung Lot M ke Batu 32 Sandakan sepanjang 18.1-kilometer, sempena Jelajah FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya.

Program tiga hari mulai hari ini bagi meninjau status projek pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan isu penyenggaraan jalan Persekutuan.