Monday, 27 June 2022

119 orang terima geran hak milik tanah - Saarani

  • Published in Nasional

GERIK, 27 Mei - Sebanyak 119 penerima dari Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Air Panas Tambahan, Rancangan Belia Khas (RBK) Air Panas dan Program Penempatan Masyarakat Setempat (PPMS) Air Jada di daerah Hulu Perak menerima geran hak milik tanah daripada Kerajaan Negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, selain memenuhi keperluan penduduk untuk memiliki tanah sendiri, ia membolehkan mereka membangunkan tanah tersebut, sekaligus mewariskannya kepada generasi akan datang.


(Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad)

"Sekarang mereka dapat, bila dapat itu janganlah kita lupa kepada sejarah perjuangan yang lama sehingga kita kelabu mata. Sudah tentu akan ada orang menawarkan satu lot mungkin RM50,000 atau lebih. Jadi jangan kita pandang wang itu, kita pandang nilai harta ini sejarah perjuangan yang lama.

"Saya nasihatkan tadi jangan jual, simpan. Jika jual tanah, duit boleh habis hari ini, kalau simpan tanah, buat tanam tanaman sayur. Hasil itu boleh beri pulangan untuk jangka masa panjang", katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian geran bagi RPT Air Panas Tambahan, Rancangan Belia Khas RBK Air Panas dan PPMS Air Jada di Gerik, Perak.