Monday, 27 June 2022

Perdana Menteri adakan pertemuan dengan peneraju syarikat-syarikat terkemuka Jepun

  • Published in Nasional

TOKYO, 27 Mei - Lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Jepun, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diteruskan dengan pertemuan bersama prospek perniagaan melibatkan syarikat-syarikat terkemuka negara itu.

Empat syarikat berpeluang bertemu sendiri dengan Perdana Menteri dalam sesi berkenaan dan berbincang mengenai potensi peluasan pelaburan di Malaysia.

Empat sesi pertemuan secara langsung dengan Perdana Menteri ini dihadiri Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Power, Japan Malaysia Economic Association (JAMECA), Rohm Wako dan Mitsui Fudosan.

Sesi perbincangan diatur bagi memberi peluang kepada pelabur-pelabur Jepun yang mempunyai potensi, mengembangkan lagi perniagaan di Malaysia.


(Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan peneraju
syarikat-syarikat terkemuka Jepun/FB ISMAIL SABRI)

Mitsubishi Power berhasrat menaik taraf rangkaian penyelesaian bagi loji janakuasa tenaga gas turbinnya di Malaysia, manakala JAMECA merancang mengadakan seminar Dasar Pandang ke Timur di Malaysia pada Ogos nanti.

Ia selaras dengan hasrat Malaysia yang masih ingin menerokai peluang-peluang baharu yang boleh ditawarkan negara matahari terbit itu terutama dalam pasaran perpindahan teknologi dan kepakaran terkini Jepun. Jadual padat menanti Perdana Menteri hari ini.

Sesi bertemu komuniti perniagaan juga akan berlangsung pada sebelah petang sebelum acara kemuncak pertemuan empat mata bersama rakan sejawatannya Fumio Kishida di Pejabat Perdana Menteri Jepun pada lewat petang di Chiyoda.

Turut dijadualkan berlangsung, tiga memorandum kerjasama antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan Jepun yang akan ditandatangani tiga kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Sumber Manusia yang diwakili menteri masing-masing.

Kedua-dua pemimpin akan hadir sama menyaksikan pemeteraian memorandum berkenaan.

Laporan Azmah Abdul Wahab.