Saturday, 25 June 2022

Malaysia, Thailand setuju kukuhkan pertukaran maklumat dan risikan

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 26 Mei- Malaysia dan Thailand bersetuju untuk memperkukuhkan pertukaran maklumat tertutup dan hasil risikan dalam kalangan pihak berkuasa kedua negara bagi mencegah ancaman keselamatan bukan tradisional di kawasan sempadan.

Kerjasama itu antara perkara yang dipersetujui bersama hasil Mesyuarat ke-55 Jawatankuasa Sempadan Am Malaysia-Thailand (GBC MALTHAI) di ibu negara, hari ini.

Ia dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Tuan Yang Terutama Jeneral Prawit Wongsuwan.

"Malaysia dan Thailand bersetuju untuk meningkatkan keberkesanan operasi secara bersama. Selain itu, aktiviti rentas sempadan secara sah akan dipermudahkan demi pertumbuhan ekonomi dan mengukuhkan komuniti kawasan perbatasan," kata kenyataan yang dikeluarkan itu.


(Foto REUTERS)

Mesyuarat berkenaan turut bersetuju untuk memperhebat komunikasi kedua negara menerusi pelantikan Pegawai Perhubungan (LO) bagi Program Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) di sepanjang sempadan negara.

Persetujuan bersama turut dicapai bagi menjalankan eksesais Jawatankuasa Latihan Gabungan Bersama Thailand-Malaysia (JCEC Thamal) Keempat yang dijangka akan dilaksanakan pada tahun 2024.

Latihan tersebut akan memfokuskan aspek bantuan ketenteraan dari negara anggota Asean dengan berlatarbelakangkan HADR, selain penekanan bagi mempromosi peranan wanita serta perkhidmatan perubatan kecemasan (EMS).

GBC MALTHAI seterusnya dijangka akan dilaksanakan tahun hadapan di negara Thailand.