Logo

SPRM buka 379 kertas siasatan, 425 ditahan setakat April

PUTRAJAYA, 24 MEI 2022- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka sebanyak 379 kertas siasatan membabitkan 425 tangkapan pada empat bulan pertama tahun ini.

Menurut Ketua Persuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ia membabitkan rasuah, penggubahan wang haram dan kanun keseksaan.

"Tahun lalu, SPRM membuka 829 kertas siasatan yang mengakibatkan 851 tangkapan dengan jumlah aset yang dirampas berjumlah 162 juta, manakala jumlah yang dilucuthakkan ialah sebanyak RM5.13 bilion," katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Antirasuah Malaysia ke-3 di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi dan Pengasas Institut Strategi Antarabangsa (ISI) Cheah Chyuan Yong. Forum anjuran ISI itu bertujuan mencari kaedah yang berkesan dalam membanteras rasuah.

Katanya, suku pertama tahun ini sahaja turut merekodkan sebanyak RM12.58 juta aset dirampas dan RM59 juta dilucut hak.

Pada forum itu, Azam menggesa syarikat korporat sama ada tempatan atau asing untuk memanfaatkan rebat potongan cukai dengan menganjurkan Program Tanggungjawab Sosial Korporat )CSR) berkaitan pencegahan rasuah dan pendidikan.

Jelasnya, dengan penganjuran program CSR, syarikat layak memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan amaun bersamaan dengan jumlah perbelanjaan yang ditanggung untuk program sedemikian, yang dijalankan dengan kerjasama SPRM.

"Insentif pelepasan cukai di bawah Seksyen 34 (6) (h) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah untuk menggalakkan lebih banyak syarikat swasta bekerjasama dengan SPRM menjalankan program pencegahan rasuah yang akan memberi manfaat kepada orang ramai termasuk sekolah dan institusi pengajian tinggi," katanya.

Hak Cipta Terpelihara © 2015 Radio Televisyen Malaysia.