Monday, 27 June 2022

PM Ismail Sabri ucap tahniah sempena Hari Keputeraan Raja Perlis

  • Published in Nasional

KUALA LUMPUR, 17 Mei- Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merafak sembah ucapan tahniah kepada Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sempena sambutan ulang tahun keputeraan rasmi baginda, hari ini.

Ismail Sabri menzahirkan ucapan itu kepada baginda menerusi akaun Facebook rasminya.

“Daulat Tuanku. Merafak sembah dan setinggi-tinggi tahniah.

“Patik menyembahkan ucapan tahniah ke sisi Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail sempena Ulang Tahun Ke-79 Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Raja Perlis pada 17 Mei 2022 bersamaan 16 Syawal 1443H,” katanya.

Perdana Menteri turut mendoakan agar Tuanku Syed Sirajuddin dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid, dilanjutkan usia.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob)

“Semoga Allah SWT memberkati pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Ampun Tuanku,” katanya.

Bersempena Hari Keputeraan Raja Perlis, seramai 325 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat.