Saturday, 25 June 2022

Pusat rehabilitasi bantu rancang masa depan anak istimewa

  • Published in Nasional

KUALA NERUS, 16 Mei- Pusat Rehabilitasi anak istimewa mampu memberi sokongan kepada ibu bapa untuk merancang masa depan mereka dengan yang lebih baik.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Terengganu, Dr Alias Razak berkata, terapi pertuturan, cara kerja dan terapi berkumpulan kepada kanak kanak seawal usia dua tahun dapat membantu meningkatkan kualiti hidup mereka secara berperingkat.

Ketika ini, hanya terdapat empat pusat perkhidmatan tersebut disediakan di bawah syarikat persendirian.

"Kerajaan akan tengok di masa akan datang apa-apa bantuan yang boleh kita berikan supaya orang yang tidak mampu juga boleh dimanfaatkan dengan bantuan inshaallah, saya ucapkan tahniah kepada syarikat dominan ni ambil satu langkah membantu ibu bapa khususnya yang ada anak-anak autisme, down sindrom dan sebagainya untuk kalau tak seratus peratus pun dapat diperbaiki mereka punya kemampuan dan prestasi," katanya.

Alias ditemui selepas merasmikan Pusat Rehabilitasi Dominan di Kuala Nerus.

Pusat yang mampu memberi manfaat kepada 300 pelajar itu turut menyediakan tadika kelas harian dan sokongan bagi kanak-kanak berkeperluan khas.


(Dr Alias Razak meninjau Pusat Rehabilitasi Dominan yang baru dirasmikan di Kuala Nerus, Terengganu)

Menurut terapis pertuturan bahasa, Nurul Izanaa Ab Rahman, penubuhan Pusat Rehabilitasi Dominan tersebut dapat memberi pendedahan kepadanya dalam menguruskan anak-anak istimewa.

"Sama ada kalau dia tidak boleh pergi sekolah aliran arus perdana, mungkin dia boleh ke sekolah pendidikan khas, sekurang-kurangnya ibu bapa boleh menguruskan diri sendiri, mengurangkan beban dan stres ibu bapa dalam mengurus anak-anak ini," katanya.

Bagi Saizzah Salim, sebagai ibu, dia menyambut baik pengisian dan aktiviti yang disediakan di pusat rehabilitasi tersebut.

"Pandangan saya sangat baguslah untuk anak-anak yang 'special' ni macam ni sebab dari segi ilmiah pun dia ada 'cover' dan juga dari segi islamik pun. Anak saya pun tahu daripada sini dia ikut sembahyang tu semua kan islamik dan juga dari segi cara pengurusan diri, cara pakai baju dan sebagainya," kata Saizzah.