Sunday, 26 June 2022

Status OKU tidak halang cikgu Zawati terus tabur bakti

  • Published in Nasional

KOTA BHARU, 16 Mei- Berstatus Orang Kurang Upaya (OKU) fizikal sejak lahir bukan penghalang kepada seorang guru, Zawati Yusoff, 52, untuk terus menabur bakti mendidik anak bangsa.

Guru Pendidikan Islam di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa 2 itu berkata beliau mula berkecimpung dalam bidang perguruan sejak 21 tahun lepas bagi mendidik pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada golongan OKU.

Tidak memiliki kedua-dua lutut hanya paha dan betisnya bersambung, Zawati berkata kekurangan dirinya itu seakan menjadi ‘satu kelebihan’ baginya dalam memahami kerenah pelajar.

“Mengajar anak-anak pendidikan khas ini, ia satu tanggungjawab yang berat memandangkan mereka perlu diajar mengikut kesesuaian masing-masing.

“Memiliki kesabaran yang tinggi antara sebab saya mampu mengatasi kesukaran untuk mendidik pelajar pendidikan khas yang terdiri daripada pelbagai kategori termasuk Sindrom Down, lembam dan hiperaktif,” katanya kepada Bernama di rumahnya di Kampung Chekok, Jalan Rambutan Rendang, di sini baru-baru ini.

Bercerita lanjut, ibu kepada seorang anak lelaki berusia lapan tahun itu mengakui bergelar seorang pendidik berstatus OKU bukan perkara yang mudah selain turut berdepan dengan masalah kesihatan.

“Saya mudah mengalami kekejangan kaki apabila berjalan jauh, berdiri dalam tempoh terlalu lama dan sebagainya.

“Sudah menjadi lumrah apabila kekejangan kaki sebaik sahaja tiba di kelas namun itu tidak menjadi masalah bagi saya meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, matlamat beliau hanya satu iaitu mendidik pelajar kurang bernasib baik untuk memperoleh kejayaan dunia dan akhirat setanding pelajar normal.

(Foto fail)

“Apa yang menggembirakan hati saya sebagai seorang guru adalah apabila dapat melihat anak didik mampu berdikari dan ‘berdiri sama tinggi’ dengan pelajar biasa, selain memperoleh pekerjaan selepas tamat belajar seterusnya mendirikan rumah tangga.

“Masa hadapan mereka pasti akan cerah jika diberi didikan sempurna oleh guru yang bertanggungjawab. Saya turut berharap guru-guru khususnya guru Pendidikan Khas supaya tidak jemu dalam mendidik dan melatih pelajar-pelajar ini untuk menjadi insan berguna,” katanya.

Penat lelah dan pengorbanan Zawati dalam mendidik anak-anak pendidikan khas selama ini berbaloi apabila beliau menerima Anugerah Guru Cemerlang OKU (Pendidikan) pada 2010, 2016 dan 2019 selain Anugerah Tokoh Zinnirah Al Rumiyah (OKU) daripada Kerajaan Negeri Kelantan tahun lepas.