Saturday, 25 June 2022

Pindaan perlembagaan UMNO, tidak mempengaruhi tarikh PRU-15 -Ismail Sabri

  • Published in Nasional

(Ismail Sabri)

KUALA LUMPUR, 15 Mei- Pindaan Perlembagaan UMNO berkaitan pemilihan parti tidak berhubung kait dengan penentuan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), drmikian menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob

Katanya, ia kerana dua perkara berkenaan membabitkan proses yang berbeza.

"Usul pindaan yang diluluskan UMNO adalah berkaitan pemilihan dalam parti, sementara keputusan untuk mengadakan PRU, ditentukan kerajaan.

"Tarikh (PRU) itu ditetapkan oleh kerajaan dengan keputusan dari mesyuarat Kabinet. Kita akan bawa dalam Kabinet. Sementara parti berbeza dengan kerajaan.

"Parti pun tahu, kalau ada cadangan (untuk diadakan PRU) akan bawa ke Kabinet dan Kabinet yang memutuskan.

"Kalau pun Kabinet sudah memutuskan tarikh, Kabinet akan beri mandat kepada saya untuk berbincang dengan Yang di-Pertuan Agong," katanya selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas di sini, hari ini.

(Acara memotong pulut kuning oleh barisan kepimpinan UMNO selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) Khas di ibu negara)

Sementara itu, beliau berkata UMNO perlu menghantar surat pemakluman kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berkaitan keputusan PAU Khas hari ini dalam tempoh 60 hari.

"Terserah kepada agensi itu untuk menentukan keputusannya.

"Usul itu sudah diterima sebulat suara dan selepas ini UMNO akan menulis surat kepada ROS untuk mendapatkan kelulusan.

"Itulah dari segi prosedurnya," katanya yang juga Naib Presiden UMNO.

"Kita tidak tahulah. Kita akan hantarlah permohonan itu untuk dapatkan kebenaran ROS terhadap pindaan itu.

"Kita tunggulah, kita pun tak tahu lagi," katanya.

Katanya, UMNO perlu menghantar surat pemakluman kepada ROS berkaitan keputusan PAU Khas hari ini dalam tempoh 60 hari.

Mengulas mengenai nya sama ada PRU ke-15 diadakan tahun ini, beliau berkata, tarikh pelaksanaannya kelak akan ditetapkan kerajaan melalui
mesyuarat kabinet.

"PRU kita tunggulah, kalau saya bagi tahu, maknanya semua sudah tahu awal.

"UMNO bersedia untuk menghadapi (PRU) Ke-15,"katanya.