Thursday, 26 May 2022

Kenyataan Wawasan Bersama tingkatkan perkongsian ASEAN-AS

  • Published in Nasional

WASHINGTON, 13 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan pemimpin-pemimpin ASEAN lain menghadiri majlis makan malam anjuran Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden di White House di sini.

Majlis itu bersempena Sidang Kemuncak Khas AS-ASEAN yang diadakan buat kali kedua sejak 2016.

(Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden di  White House/BERNAMA)

Setibanya di White House, kesemua pemimpin berkumpul untuk sesi bergambar.

Lapan negara termasuk Malaysia, diwakili ketua kerajaan masing-masing.

Filipina yang sedang mengadakan pilihan raya umum diwakili Setiausaha Luarnya Teodoro Locsin Jr.

Manakala, pemimpin junta Myanmar Min Aung Hlaing tidak diundang.

Sidang kemuncak khas kali ini seiring ulang tahun ke-45 hubungan dialog ASEAN-AS.

Pentadbiran Biden meletakkan salah satu keutamaannya untuk berkhidmat sebagai rakan kongsi yang kukuh dan boleh dipercayai di Asia Tenggara.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-AS yang diadakan secara maya pada Oktober tahun lalu, Biden mengumumkan inisiatif bernilai AS$102 juta bagi mengembangkan penglibatannya dengan ASEAN.

Esok, kesemua pemimpin akan mengadakan perbincangan dengan Presiden Biden dan Naib Presiden Kamala Harris di Jabatan Negara AS.

Kenyataan Wawasan Bersama yang akan dikeluarkan pada akhir persidangan bakal menekankan komitmen dan aspirasi untuk meningkatkan perkongsian ASEAN-AS.