Thursday, 26 May 2022

PM rai Aidilfitri bersama Keluarga Malaysia di Washington

  • Published in Nasional

WASHINGTON, 12 Mei - Sempena kehadirannya di sini, Perdana Menteri Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menyertai hampir 200 rakyat Malaysia pada jamuan hari raya Aidilfitri Keluarga Malaysia.

Majlis tersebut turut disertai oleh beberapa individu warganegara yang kini menetap di New York.

Tampil segak memakai pakaian tradisional masing-masing, tetamu dihidangkan dengan pelbagai juadah termasuk kuih muih yang sinonim dengan sambutan Aidilfitri.

Pada jamuan tersebut Perdana Menteri sempat meluangkan masa menemui dan berbual dengan para tetamu.

Ismail Sabri kini berada di Washington untuk lawatan rasmi empat hari sempena Sidang Kemuncak Khas Amerika Syarikat-ASEAN.

(Ismail Sabri bersama Keluarga Malaysia di Washington rai Aidilfitri)

Beliau akan menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan Presiden Joe Biden di White House.

Ini diikuti dengan beberapa siri perbincangan di Jabatan Negara Amerika Syarikat pada Jumaat.

Sidang kemuncak khas berkenaan seiring ulang tahun ke-45 hubungan dialog ASEAN dan Amerika Syarikat.

Ismail Sabri turut mengadakan perbincangan berasingan bersama Penyelaras Hal Ehwal Indo-Pasifik Majlis Keselamatan Negara Amerika Syarikat, Dr KurtM. Campbell.

Katanya, beliau memberitahu Dr Campbell bahawa semua negara anggota ASEAN harus terlibat dengan cadangan inisiatif Rangka Kerja Ekonomi Indo-pasifik (I-PEF) yang diketuai Amerika Syarikat.

Ketika ini beberapa negara daripada kumpulan itu tidak berada dalam inisiatif perdagangan dan ekonomi utama untuk rantau Indo-Pasifik.

Malaysia berpandangan semua negara ASEAN perlu dilibatkan.

Justeru Kuala Lumpur pada dasarnya bersetuju menyertai I-PEF.

Dalam pada itu perjumpaan dengan Setiausaha Agung Perikatan Teknologi dan Perkhidmatan Maklumat Dunia (WITSA) Dr James H. Poisant turut berlangsung.

WITSA akan menganjurkan persidangan IT terbesar dunia, Kongres Dunia mengenai Teknologi Maklumat, di Pulau Pinang pada September.

Mengulas mengenainya Ismail Sabri berharap, kongres tersebut akan memberi manfaat teknologi kepada rakyat Malaysia.

Kongres antara lain, akan dihadiri oleh penceramah daripada agensi angkasa lepas Amerika (NASA).