Friday, 27 May 2022

Kedah tidak pandang remeh isu bekalan air bersih

  • Published in Nasional

ALOR SETAR, 26 Januari - Kerajaan Negeri Kedah tidak pernah memandang remeh masalah pembekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat.

Sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mei 2020, Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor telah meletakkan perkara itu sebagai keutamaan untuk diselesaikan dalam tempoh kepimpinan beliau.

Pejabat Menteri Besar Kedah dalam kenyataan berkata, menyedari bahawa ini bukan isu baharu yang telah berlarutan begitu lama, sememangnya sukar untuk masalah ini diatasi sepenuhnya dalam tempoh singkat.

Ditambah pula dengan kekangan kewangan yang dihadapi oleh Syarikat Air Darul Aman (SADA) sejak beberapa tahun lepas termasuk catat kerugian RM36 juta pada tahun 2019.

Bagaimanapun, langkah-langkah pengurangan kos secara intensif dilaksana SADA hingga berjaya catat keuntungan RM1 juta pada 2020.

Tahun lalu keuntungan melonjak kepada lebih RM30 juta sebelum cukai.

Kedah yakin dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang, masalah bekalan air terawat di seluruh Kedah dapat diatasi apabila kesemua Loji Rawatan Air yang sedang dalam pembinaan, siap.