Friday, 27 May 2022

Seorang maut dan tiga cedera, kereta dinaiki sekeluarga terbabas

  • Published in Nasional


KAMPAR, 25 Januari
- Seorang lelaki maut manakala isteri dan dua orang anaknya cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam longkang di KM38.3 Jalan Ipoh-Teluk Intan berhadapan Klinik Kesihatan Jalan Degung petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, polis menerima panggilan menyatakan berlaku kemalangan jalan raya pada jam 6.45 petang.

"Mangsa yang memandu kenderaan maut di tempat kejadian manakala isterinya cedera parah dan dua anak turut cedera dan dibawa ke Hospital Kampar," katanya

Beliau berkata, punca kemalangan masih dalam siasatan pihak polis.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 6.57 petang sebelum bergegas ke tempat kejadian.

Beliau berkata, setibanya jentera di lokasi kejadian didapati kemalangan jalan raya membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga terbabas ke dalam longkang mengakibatkan semua mangsa tercampak keluar dari kenderaan.

"Tiada mangsa tersepit dan dua kanak-kanak berkenaan dibawa ke Hospital Kampar oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba.

"Pemandu kereta disahkan maut oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian manakala isteri beliau mengalami kecederaan parah," katanya.

Dua anak mereka dibawa ke Hospital Kampar oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba di lokasi kejadian.

Sementara mayat mangsa pula diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.