Friday, 27 May 2022

447 peneroka FELDA Chuping terima geran hak milik tanah

  • Published in Nasional

CHUPING, 25 Januari - Seramai 447 peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Chuping menerima geran hak milik tanah daripada kerajaan negeri hari ini.

Ini merupakan hari paling bermakna buat mereka setelah menjadi peneroka FELDA selama 44 tahun.

Turut menerima geran tanah adalah 253 pemohon tanah usaha kerajaan yang telah diluluskan, melibatkan lebih 2,000 ekar secara keseluruhannya.

Menurut Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man kegigihan para peneroka dan ketekunan pegawai-pegawai daripada agensi terlibat telah membuatkan hasil apabila geran hak milik dapat diserahkan kepada tangan para peneroka.

"Dan proses ini memanglah terlalu panjang, proses untuk mengukur tanah dan tanah pula luas melebihi 2,000 ekar lebih. Alhamdulillah proses itu telah selesai hasil kerjasama rapat di antara pihak FELDA, Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian. Kita telah berjaya mengeluarkan 447 geran ini kepada peneroka-peneroka FELDA yang telah lama menunggu untuk memperolehi geran ini," kata Azlan Man selepas Majlis Penyerahan geran di Dewan Besar Felda Chuping.

Walaupun terdapat generasi pertama Felda Chuping yang telah meninggal dunia namun bagi generasi kedua mereka tetap besyukur kerana telah memperoleh geran tanah sebagai hak milik kekal .

"Alhamdulilah pada hari ini merupakan satu sejarah bagi peneroka FELDA Chuping yang mana lebih 43 tahun kita menunggu geran ini, Pada hari ini kita dapat, terima kasih pada Kerajaan Perlis pimpinan YAB Azlan Man, YB kawasan Asmaiza Ahmad ADUN Chuping dan seluruh warga FELDA yang bersusah payah mendapatkan geran kepada kami' kata peneroka, Izan Asmawi Habidin.